Politik India kacau-bilau: Rakyat bakar koc kereta api, pejabat BJP

Susunan YUSMAN AWANG

LUCKNOW: Sikap kejam kerajaan India di bawah pemerintahan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi terhadap umat Islam di negara itu nampaknya  ‘memakan diri sendiri’ apabila ia kini menjadi kacau-bilau susulan siri protes rakyat, terbaharu, tunjuk perasaan yang bertukar ganas, ekoran bantahan orang ramai terhadap sistem baharu pengambilan tentera yang baru diperkenalkan BJP.

Laporan NDTV menyebut bahawa penunjuk perasaan telah bertindak membaling batu ke arah polis dan membakar koc kereta api pada hari ini, Jumaat (17 Jun) ketika tunjuk perasaan pada hari kedua menentang proses pengambilan tentera baharu yang sebelum itu diumumkan BJP.

Advertisement

“Penunjuk perasaan berkumpul semula pada hari ini (Jumaat), membakar koc kereta api di sekurang-kurangnya dua stesen di negeri timur Bihar dan mengganggu kelancaran perkhidmatan kereta api,” ujar pegawai polis di Bihar, Sanjay Singh kepada Reuters.

Tambahnya, penunjuk perasaan telah menyekat operasi kereta api di 10 lokasi pada hari ini (17 Jun) sambil menambah bahawa lebih 100 orang telah ditangkap kerana terbabit dalam protes di seluruh India pada Khamis (16 Jun).

“Penunjuk perasaan juga menyerang rangkaian kereta api di seluruh Bihar sekurang-kurangnya di dua lokasi, merosakkan landasan dan stesen kereta api dan stesen,” ujar kenyataan syarikat kereta api berkenaan.

Pejabat BJP di Arambagh, Bengal terbakar pada 2 Mei 2022. (FOTO Dailymotion)

Sementara kenyataan pegawai polis Nawada kepada Reuters memberitahu bahawa kumpulan penunjuj perasaan juga telah membakar pejabat BJP di bandar Nawada, menyerang infrastruktur kereta api dan menyekat jalan raya, ketika tunjuk perasaan merebak di beberapa bahagian negara itu.

Sementara pegawai polis, A.R Srinivas memberitahu Reuters bahawa beratus-ratus orang turut berkumpul di bandar selatan Secunderabad melontar batu ke arah polis, sebagai tanda protes yang semakin merebak.

“Mereka juga telah membakar hartanah di stesen kereta api Secunderabad,” ujarnya.

Menurut laporan Reuters lagi, polis di utara India telah melepaskan tembakan ke udara pada Khamis untuk menghentikan tindakan orang ramai yang membaling batu kepada mereka; sementara pihak berkuasa juga menutup operasi  internet mudah alih di sekurang-kurangnya satu daerah untuk mengelakkan keadaan huru-hara daripada melarat, ketika protes semakin meluas terhadap sistem baharu pengambilan tentera di negara itu.

Penunjuk perasaan membakar koc kereta api di Bihar pada 17 Jun 2022. (FOTO AFP)

BJP pada minggu ini mengumumkan rombakan pengambilan untuk 1.38 juta angkatan bersenjata India, bertujuan untuk menurunkan purata umur kakitangan dan mengurangkan kos perbelanjaan pencen.

Namun bakal tentera yang direkrut, golongan veteran tentera, pemimpin pembangkang dan juga beberapa anggota BJP sendiri telah bangkit menimbulkan keraguan mengenai perkara tersebut.

Di daerah Palwal di utara Haryana, kira-kira 50 kilometer (31 batu) di selatan ibu negara New Delhi, orang ramai membaling batu ke arah rumah pegawai-pegawai kerajaan dan polis yang melindungi bangunan itu melepaskan tembakan untuk menghalang tindakan mereka orang ramai, merujuk rakaman video daripada rakan kongsi Reuters, ANI.

Polis India melepaskan tembakan terhadap orang ramai yang membaling batu di sekurang-kurangnya dua bandar di India ketika orang ramai membantah di seluruh negara atas ucapan anggota BJP yang menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini. ( FOTO AFP)

“Ya, kami telah melepaskan beberapa das tembakan untuk mengawal protes ganas orang ramai,” kata seorang pegawai polis tempatan, yang enggan namanya disiarkan.

Tiada maklumat segera mengenai kemalangan jiwa, sementara Jabatan Penerangan Haryana berkata, kemudahan internet mudah alih digantung buat sementara waktu di daerah Palwal.

Sistem pengambilan baharu tentera yang dikenali sebagai Agnipath atau dalam bahasa Hindi bermaksud, ‘jalan api’  akan membawa masuk calon lelaki dan wanita berumur antara 17 dan 21 tahun untuk tempoh perkhidmatan empat tahun bagi pangkat bukan pegawai, dengan hanya suku daripada mereka dikekalkan untuk tempoh perkhidmatan yang lebih lama.

Sebelum ini, calon tentera direkrut untuk mengisi ke dalam angkatan tentera darat, tentera laut dan tentera udara secara berasingan dan biasanya bagi tempoh perkhidmatan sehingga 17 tahun untuk pangkat paling rendah.

Kekejaman polis memukul sekumpulan lelaki Muslim yang ditahan di penjara pada 16 Jun 2022 menambahkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan BJP yang memerintah India ketika ini. (FOTO BBC)

Tempoh yang lebih singkat telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan bakal tentera yang direkrut di India.

“Ke mana kita akan pergi selepas bekerja selama empat tahun sahaja?” soal seorang pemuda, dikelilingi oleh rakan-rakan penunjuk perasaan di daerah Jehanabad di Bihar, memberitahu ANI

“Kami akan kehilangan tempat tinggal selepas empat tahun berkhidmat. Jadi, kami kini bertindak menyekat jalan raya,” tambahnya.

Tindakan tidak berperikemanusiaan merobohkan kediaman aktivis Afreen Fatima di Prayajraj, New Delhi pada 12 Jun 2022 menunjukkan satu lagi bukti kekejaman kerajaan BJP di bawah pimpinan Narendra Modi. (FOTO YouTube)

Menurut laporan IndiaTVnews, asap berkepul akibat pembakaran tayar di persimpangan jalan di Jehanabad, lokasi di mana penunjuk perasaan menjerit slogan dan melakukan tekan tubi untuk menekankan kecergasan mereka bagi direkrut sebagai tentera.

Terdahulu, Bihar dan negeri jirannya, Uttar Pradesh menyaksikan bantahan terhadap proses pengambilan pekerja kereta api baharu pada Januari tahun ini, menggariskan masalah pengangguran yang berterusan di India.

Kereta api Ekspres Vikramshila musnah terbakar diserang penunjuk perasaan di Agnipath, Lakhisarai, India pada 17 Jun 2022 (FOTO PTI)

Varun Gandhi, ahli parlimen BJP dari Uttar Pradesh, dalam surat kepada Menteri Pertahanan, India, Rajnath Singh pada  Khamis berkata bahawa 75 peratus daripada individu yang diambil bekerja di bawah skim itu akan menjadi penganggur selepas empat tahun berkhidmat.

“Setiap tahun, jumlah ini akan meningkat,” kata Gandhi, menurut salinan surat yang disiarkan olehnya di media sosial.

Sementara pada 2 Mei lalu, pejabat BJP di Arambagh, Bengal terbakar ketika Kongres Trinamool menuju ke arah kemenangan besar dalam pilihan raya dewan, membawa semula kepada dakwaan keganasan oleh parti pemerintah itu.

Pengumuman kerajaan BJP tentang perancangan terbaharu organisasi ketenteraan di India telah menaikkan api kemarahan rakyatnya. (FOTO BBC)

Pemimpin dan pekerja BJP dalam video tweetnya, bagaimanapun mendakwa bahawa Trinamool telah melancarkan keganasan terhadap pekerjanya.

Namun Ketua Menteri, Mamata Banerjee menafikan dan sebaliknya berkata, pekerja BJP yang mengejar calon parti Arambagh, Sujata Mondal, serta memukul kepalanya berhampiran pusat pengundian.

Pendek kata di sana sini berlaku huru-hara menjadikan India kini tidak lagi aman, susulan rakyatnya tidak kira Muslim atau Hindu semakin tidak berpuas hati dan mulai bangkit memprotes kekejaman dan ketidakadilan BJP terhadap mereka. – HARAKAHDAILY 17/6/2021