Hubungan Rusia-Arab Saudi ‘sehangat cuaca di Riyadh’

Putera Abdulaziz Salman (kiri) dan Alexander Novak bertemu pada mesyuarat di Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) di Saint Petersburg, Rusia pada 16 Jun 2022. (FOTO Arab News)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

RIYADH: Arab Saudi menyifatkan hubungan dua halanya dengan Rusia adalah sehangat cuaca panas di Riyadh, yang memberi isyarat bahawa kedua-dua negara masih menjalinkan tali persahabatan yang erat antara satu sama lain.

Kenyataan itu dibuat oleh Putera Abdulaziz Salman selepas mengadakan pertemuan selama satu jam dengan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak pada Khamis, susulan penampilan mengejut Menteri Tenaga Saudi itu di Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) yang tidak disenaraikan dalam jadual rasmi lawatannya.

- Advertisement -

Dalam kenyataannya, menurut  laporan Saudi Gazette, Novak berkata, Rusia boleh terus bekerjasama dengan Saudi dalam perjanjian pengeluaran minyak OPEC+  walaupun selepas perjanjian semasa tamat pada akhir tahun ini.

“Segala-galanya akan bergantung kepada keadaan pasaran; sama ada ia memerlukan sebarang kuota atau ia akan menjadi kerjasama berasaskan piagam. Ia akan menjadi lebih  jelas menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Hubungan Saudi-Rusia bermula sejak tahun 1932 apabila bekas negara Kesatuan Soviet itu menjadi salah satu negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf dan menjalin hubungan diplomatik dengan Arab Saudi. (FOTO Gulf Research Center)

Menurut Novak, mesyuarat itu sangat penting, dan pegawai kedua-dua buah negara telah mengadakan perbincangan mengenai harga minyak dan ramalan imbangan.

Ditanya sama ada rakan kongsi OPEC+ mengadu tentang kekurangan pengeluaran Rusia, Novak memberitahu pemberita selepas mesyuarat itu bahawa negara itu melihat situasi semasa (di pasaran minyak global) seimbang walaupun terdapat beberapa ketidaktentuan.

“Pasaran minyak seimbang, tetapi masih terdapat banyak ketidaktentuan,” katanya, lapor Arab News pula.

Mesyuarat berprofil tinggi itu diadakan ketika Rusia mengepam minyak kurang daripada permintaan kuota OPEC+ semasa, selepas sekatan Barat menyaksikan beberapa negara pembeli sama ada menolak atau menangguhkan pembelian sumber bahagian galian itu dari  Rusia.

Presiden Rusia, Vladimir Putin (kiri) dan Putera Mahkota Saudi, Mohammad Salman pada Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Buenos Aires, Argentina pada 30 November 2018. (FOTO GETTY IMAGES)

Pengeluaran minyak mentah Rusia meningkat kepada 9.273 juta tong sehari pada Mei daripada 9.159 juta tong sehari pada April tahun ini, merujuk kepada dokumen OPEC+ pada Khamis, lapor Reuters, yang mana Novak berjanji untuk menambah lagi jumlah pengeluaran minyaknya bulan depan apabila Moscow mendapat permintaan kukuh dari India dan China.

Namun Rusia mengeluarkan 1.2 juta tong sehari (bpd) kurang bulan lepas daripada kuota 10.55 juta bpd yang diperlukan, yang telah mencetuskan spekulasi bahawa Moscow mungkin digantung daripada pakatan itu. – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -