British akui ketokohan pendekar Mat Kilau

Pelakon utama filem Mat Kilau ketika tayangan filem perdana - Gambar Muhammad Zharif Zulkiflee
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

PETALING JAYA: Watak Mat Kilau diangkat ke layar perak kerana ketokohan beliau yang diiktiraf oleh kerajaan, selain fakta sejarah yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Penerbit filem sejarah yang bakal menemui penonton pada 23 Jun ini, Abdul Rahman Dali, berkata dokumen British sendiri mengesahkan impak penentangan Mat Kilau terhadap British.

- Advertisement -

Dalam keadaan sekarang, katanya kadang-kadang sejarah pendekar Melayu dinafikan, tetapi dokumen British banyak merekodkan bahawa Mat Kilau berjaya menggerakkan pergerakan besar-besaran yang menarik orang Melayu menentang penjajahan British.

“Mat Kilau menyebabkan kerosakan teruk sehingga British kata, kalau tak boleh selesaikan juga, mereka akan keluar dari Pahang.

“Saya rasakan ini satu projek permulaan Studio Kembara untuk menampilkan ketokohan Mat Kilau. Warisnya pun ada untuk mengesahkan sebahagian fakta yang kita kumpulkan,” katanya dalam sidang media selepas tayangan perdana Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di pawagam GSC Starling Mall di sini, malam tadi.

Filem berdurasi 1 jam 57 minit arahan Syamsul Yusof menelan belanja RM8 juta menampilkan Dato’ Adi Putra memegang watak utama sebagai Mat Kilau.

Pelakon utama lain termasuk Fattah Amin sebagai Awang, Beto Kusyairy (Wahid), Johan As’ari (Yassin), Wan Hanafi Su (Tok Gajah), Dato’ Jalaluddin Hassan (Haji Muhammad) dan Dato Rahim Razali (Imam Bottoqh).

Abdul Rahman berkata, perkara paling penting ialah sifat Mat Kilau sebagai seorang yang baik, berpegang kuat kepada agama dan pejuang.

Katanya, Mat Kilau adalah watak seorang Islam sebenar, baik dan sanggup mempertahankan tanah air sebagai sebahagian daripada iman.

“Kita hendak tampilkan bahawa walaupun British adalah kuasa besar dunia ketika itu, Mat Kilau ada sifat kejantanan, berani dan yakin diri, boleh memberi impak besar kepada masyarakat untuk menentang British.

Abdul Rahman Dali (dua dari kanan) ketika sidang media selepas tayangan filem perdana Mat Kilau

“Apabila berjaya mengalahkan British dalam pertempuran, dia telah menerobos psikologi orang Melayu bahawa pendekar Melayu mampu mencabar, malah boleh mengalahkan tentera terkuat di dunia ketika itu. Ini memberi suntikan keyakinan kepada bangsa Melayu bahawa kita boleh dan jangan biarkan kita dibuli oleh pendatang yang tidak diundang,” katanya.

Sementara itu, katanya hanya antara 60 hingga 70 peratus adegan filem mengikut fakta sejarah, tetapi perjalanan cerita filem itu adalah betul dan bakinya adalah hasil karya seperti adegan ketika bersilat.

Sebagai contoh, katanya watak Goh Hoi memang ada dalam sejarah dan naratifnya dalam filem, dia ditewaskan oleh gerakan Mat Kilau.

Abdul Rahman juga gembira kerana walaupun lewat menemui penonton akibat pandemik Covid-19 dan sebagainya, Syamsul sebagai pengarah dapat menghayati mesej yang hendak disampaikan.

Katanya, ini menjadikan bukan sahaja pengarahannya berkesan, malah pemilihan pelakon hebat yang sangat berkesan dalam lakonan.

Mengulas mengenai penggunaan keris Jawa, katanya keris adalah senjata simbolik untuk semua umat Melayu Nusantara, sama ada Jawa atau Acheh yang jika dikaji dari segi genetik sama saja.

“Tiada isu sebenarnya, sudah tentulah sedikit sebanyak terlepas pandang. Namun, banyak perkara besar yang kita angkat. Fakta paling penting ialah kita hendak hiburan yang boleh mengangkat aras permikiran masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/22

- Advertisement -