Tagih semula syabu selepas henti 2 tahun

Jalan masuk utama ke PUSPEN Dengkil, Selangor
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Antara cabaran utama yang dihadapi oleh penyalahguna dan penagih dadah syabu ialah untuk berhenti sepenuhnya tabiat memudaratkan itu.

Ada yang berjaya menghentikan ketagihan itu sehingga dua tahun, tetapi terjebak semula kerana bertemu rakan-rakan yang masih mengamalkan tabiat itu.

- Advertisement -

Rakan-rakan lama akan mempengaruhi mereka yang telah berhenti untuk kembali menagih, termasuk menawarkan dadah sintetik itu secara percuma. Malah di kalangan pengedar dadah atau dikenali sebagai tokan juga sanggup mengurangkan harga.

Ini yang menyebabkan walaupun sudah berhenti, mereka kembali menagih kerana godaan yang dihadapi cukup mencabar.

Namun apabila menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang dikendalikan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), mereka turut menimba ilmu untuk mengelakkan pernagihan semula.

Tiga orang yang ditemui HarakahDaily di PUSPEN Dengkil, Selangor, menceritakan pengalaman terjebak dengan penyalahgunaan syabu, dadah sintetik yang membawa kesan buruk termasuk menyebabkan sakit mental dan kematian apabila diambil secara berterusan.

Bob menagih syabu selama 6 tahun sebelum ditangkap – Gambar oleh Muhammad Zharif Zulkiflee

BOB (Nama panggilan)

Berasal dari Pantai Timur dan menetap di Kuala Lumpur. Mempunyai 2 anak, berusia lewat 20-an

Saya mula terjebak dengan penyalahgunaan syabu akibat pengaruh rakan sebaya. Mula-mula untuk bersuka ria, mencari keseronokan yang orang lain tiada.

Bagaimanapun setelah lama menggunakan syabu, dadah ini mula menjejaskan kehidupan. Saya tidak boleh fokus terhadap kerja apabila tidak menggunakan syabu. Setiap kali dapat gaji, saya habiskan wang untuk beli syabu. Apabila tiada wang dan tidak mendapat syabu, prestasi kerja merosot dan akhirnya dibuang kerja.

Ketagihan menyebabkan saya tidak boleh terputus bekalan syabu. Satu-satunya cara mendapat wang ialah dengan menipu kawan-kawan. Saya kata hendak pinjam wang. RM50 pun jadilah, nanti minggu depan saya akan bayar balik. Namun tanpa kerja, macam mana boleh bayar balik.

Apabila guna syabu, saya seperti dapat satu tenaga baharu dan keseronokan melampau. Apabila lakukan sesuatu, saya tidak akan penat. Namun, saya sedar syabu boleh menyebabkan halunisasi. Itu yang keluar dalam media massa, ada yang sanggup membunuh emak sendiri.

Saya guna syabu selama enam tahun dan semakin kerap pada dua tahun terakhir sebelum ditangkap setahun lalu. Saya habiskan antara RM50 hingga RM80 setiap kali beli. Oleh kerana menjadi penagih tegar, hubungan dengan keluarga bermasalah. Saya dan isteri bercerai akibat ketagihan ini, tetapi itu memang salah saya. Saya juga kurang menghabiskan masa bersama anak-anak yang masih kecil.

Ketika ditangkap, saya marah. Saya diperintahkan oleh mahkamah ke PUSPEN selama 24 bulan. Pada 3 bulan pertama, perasaan meracau, marah, sedih semua ada. Namun selepas 3 bulan, baru sedar bahawa alangkah bagus jika ditangkap ketika mula-mula hisap dadah.

Itu adalah kesedaran yang saya bawa sepanjang 12 bulan bulan berada di PUSPEN. Di sini, ada program yang AADK sediakan untuk mengawal diri supaya tidak kembali menagih. Saya yakin akan berubah apabila mengenang balik ketika ketagihan dulu. Adakah saya akan keluar menjadi seperti dulu atau sebagai orang baharu.

Apabila keluar, penagihan semula boleh berlaku, tetapi AADK telah menyediakan platform kerpada pelanggan untuk rawatan dan pemulihan. Kaunselor ajar cara elak perkara itu berlaku. Nasihat saya, jauhilah dadah yang 100 peratus memberi kesan buruk.

Eddy pernah tidak tidur 5 hari kerana syabu – Gambar oleh Muhammad Zharif Zulkiflee

EDDY (Nama panggilan)

Bapa lima anak berasal dari Johor. Berusia 30-an.

Saya mula menggunakan syabu selepas tamat persekolahan ketika berumur 18 tahun. Kawan-kawan kata cubalah, saya tidak fikir panjang dan terus cuba. Ketika itu, saya aktif bersukan. Apabila ambil benda itu, rasa hebat dan boleh `perform’ macam profesional. Tidak penat dan pantas. Kalau dulu main satu jam penat, tetapi selepas ambil syabu main hingga 2-3 jam tidak letih.

Namun syabu juga menyebabkan saya tidak tidur berhari-hari. Pernah sehingga 5 hari. Apabila lama tidak tidur, kesannya saya tiba-tiba boleh rebah sendiri kerana terlalu lemah. Seorang rakan menemui ajal apabila selepas 7 hari tidak tidur, tiba-tiba tertidur ketika menunggang motosikal. Kejadian ini menyebabkan saya tersedar mengenai kesan buruk syabu.

Saya menagih syabu agak lama, iaitu kira-kira 15 tahun. Saya pernah berhenti sepanjang berhijrah ke luar negara, tetapi apabila kembali ke tanah air dan bertemu semula rakan-rakan lama yang membekalkan syabu, saya kembali terjebak. Seminggu, saya belanja antara RM100 hingga RM200 beli syabu.

Sebenarnya, saya malu kepada keluarga kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah kerana menyebabkan hubungan menjadi renggang apabila asyik menyendiri. Mujur ketika itu, anak-anak tidak tahu kerana mereka tidak nampak saya menggunakan dadah.

Sedar akan keburukan syabu, saya beritahu isteri mahu dipulihkan dan kemudian memasuki PUSPEN. Selepas 8 bulan, saya lebih tenang dan banyak belajar perkara yang bermanfaat.

Antara cabaran utama ialah pengaruh sekeliling, termasuk rakan yang membekalkan syabu. Bagi mengelakkan terjebak semula, saya perlu berhijrah dan pergi ke tempat baharu yang tidak ada unsur begitu.

Zetty guna syabu kerana ajakan kawan-kawan – Gambar oleh Muhammad Zharif Zulkiflee

ZETTY (Nama Panggilan)

Gadis Berusia 20-an dari Pulau Pinang.

Apabila kerap syabu, saya mudah menggelabah, kacip (mengetapkan gigi), lidah jadi lain sebab cakap merepek dan berpeluh. Tidak boleh tidur hingga dua atau tiga hari hingga kelihatan seperti sakit mental dan menjejaskan kerja sebab selalu ponteng.

Saya mula terjebak dengan syabu pada usia 18 tahun apabila kawan-kawan tunjukkan cara guna syabu. Saya tahu itu dadah, tetapi kawan-kawan pelawa hisap syabu, malah diberikan percuma. Oleh kerana mahu mencuba, akhirnya ketagih.

Ketika itu, saya bekerja di sebuah hotel. Saya belanja kira-kira RM100 untuk membeli syabu. Tiap-tiap minggu saya beli, tetapi 2-3 hari sudah habis. Saya pernah berhenti selama dua tahun, tetapi ambil balik selepas berjumpa geng lama yang kaki syabu.

Saya lemah semangat kerana walaupun tahu keburukan dadah, tetapi `habis’ apabila jumpa kawan-kawan yang sanggup beri percuma apabila terputus bekalan.,

Keluarga tahu saya ketagih syabu apabila terjumpa `benda’ ini di bilik dan dihantar ke PUSPEN. Setakat ini sudah 12 bulan di sini. Di sini (PUSPEN), dapat belajar untuk membangunkan diri dan fizikal hasil tunjuk ajar kakitangan di sini.

Saya nasihat remaja perempuan supaya bercakap jujur apabila dipelawa kawan-kawan untuk mengambil dadah. Kena cakap tidak mahu dadah. Kalau diam, ini bermakna setuju dan kawan-kawan akan minta ambil syabu. – HARAKAHDAILY 16/6/2022

- Advertisement -