Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Maahad Sains Tok Guru Pengkalan Chepa muncul sekolah terbaik di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) peperiksaan SPM 2021 apabila mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 2.41.
Lima pelajar mendapat keputusan 12A dan 11A, 10A dan 9A (4 pelajar), 8A (13 pelajar), 7A (12 pelajar) dan 6A (8 pelajar). Seramai 66 pelajar sekolah terbabit menduduki SPM Mac lepas.
Sementara itu pelajar cemerlang yang mendapat 12A Mohamad Arif Fahmi Mohamad Anuar mengakui pada awal semangatnya sedikit hilang ketika mendapat berita kematian bapanya meninggal dunia tahun lepas.
Kata beliau ayahnya menderita penyakit paru-paru dan mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.
“Saya pada mulanya down juga lepas mendapat berita kematian bapa pada 24 Jun tahun lepas, tetapi dengan sokongan guru dan bapa saudara, saya berusaha untuk berjaya.
“Sebagai anak sulung dalam keluarga mempunyai tanggungjawab dan mahu belajar bersungguh-sungguh untuk boleh keputusan cemerlang, berusaha membantu keluarga,” katanya ketika ditemui sekolah terbabit hari ini.
Beliau bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk menjadi jurutera perisian bagi membantu kehidupan keluarga.
Menurutnya juga selain sentiasa mengulang kaji subjek sukar dengan tunjuk ajar guru dan rakan-rakan, beliau juga mendapat ilmu dan pengetahuan tambahan melalui Youtube.
Maahad Sains Tok Guru ditubuhkan pada tahun 2017, sebuah sekolah berasrama penuh milik kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 16/6/2022