Piala Asia 2023: Harimau Malaya inspirasi kita bersama

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak turut bersama seluruh rakyat Malaysia melahirkan rasa gembira dan berbangga atas kejayaan pasukan bola sepak negara melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit dan menamatkan penantian 43 tahun.

Pasukan Harimau Malaysia kendalian Kim Pan-Gon mempamerkan aksi terbaik dengan menunjukkan semangat juang yang tinggi di samping percaturan pemain yang berkualiti tinggi dan mampu mencipta sejarah baharu sukan bola sepak negara. 

DPPN Perak amat berkeyakinan Harimau Malaya mempunyai peluang cerah untuk terus maju melangkah dalam saingan Piala Asia 2023 nanti dengan mengembalikan kegemilangan suatu ketika dahulu. Sudah tentu kejayaan yang penuh bermakna pada kali ini amat menjadi inspirasi buat kita bersama.

Kesatuan hati dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan di kalangan pemain, jurulatih, pihak pengurusan serta para penyokong yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan asal usul dalam sebuah pasukan telah berjaya merealisasikan impian semua.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil semangat sebuah pasukan bola sepak untuk bersatu hati serta berpadu tenaga dalam memastikan kesejahteraan masyarakat majmuk dan bersama menikmati keberkatan hidup di bumi tercinta, Malaysia, Insya-Allah.

“Memacu Perpaduan”
“Legasi Perjuangan”

Sekian, terima kasih

HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 16/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -