Mimpi nirwana di kandang mahkamah

RAKYAT dalam tekanan. Keadaan ekonomi dan peperangan yang melanda dunia sememangnya memberi kesan dalam kehidupan rakyat. Beberapa kartel mengambil kesempatan keadaan yang berlaku menyebabkan tekanan hidup makin dahsyat.

Di saat semua ini berlaku masih berani pemimpin politik yang mendesak PRU di segerakan. Apakah mereka hilang sensitiviti dengan apa yang di hadapi rakyat? Umum tahu harta dan kemewahan yang pemimpin ini miliki ketika mereka berjawatan menteri dulu. Namun apa yang diharap rakyat agar kegopohan dan kerakusan itu tidak diserlahkan dan berlanjutan.

Bukan isu takut kalah atau apa sahaja, tetapi isunya ialah kegelisahan rakyat dan untuk apa PRU diadakan? Politik Malaysia baru keluar dari kecacamerbaan politik dan bencana COVID-19 selain banjir yang berterusan. Kerajaan dilihat cuba mengimbangi keresahan rakyat dengan bantuan langsung bernilai bilion ringgit.

Apa sebenar yang dimahu dan dikalutkan oleh seorang dua pemimpin Umno khususnya Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta juak-juak mereka? Tiada rahsia lagi bahawa Najib sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Sehingga ‘boleh dikatakan’ seperti berstatus banduan. DS Zahid pula berdepan tuduhan yang sangat banyak dan seakan hampir mustahil untuk selamat dari mahkamah. 

Apa yang dimahu kedua tokoh politik ‘dalam kandang mahkamah’ ini? Rakyat sedang melihat kemelut dalam Umno sendiri yang berada di persimpangan dengan sikap kedua pemimpin mereka. Ada pemimpin Umno yang berani bersama rakyat dan menyanggah, namun kebanyakan dari pemimpin Umno memilih mendiamkan diri walau jiwa mereka bersama keresahan rakyat. Ada juga pemimpin yang mengampu dan menyokong kenyataan presiden mereka kerana menyedari ‘dakwat hitam’ DS Zahid sebagai Presiden sangat diperlukan jika ingin menjadi calon PRU.

Negara dan nasib rakyat diperjudikan angkara kepentingan seorang dua pemimpin bermasalah. Suara akar umbi Umno ternyata tidak bersama pemimpin mereka kecuali pengampu dan si jahil yang menjadi belatuk. Apakah Umno perlu di‘reform’ segera atau perlu direhatkan dari kuasa politik orang Melayu dan negara. Ternyata tempoh 22 bulan tidak menginsafkan mereka. Mungkin dua penggal atau lebih mampu menyedarkan mereka dari lena dengan mimpi nirwana walau tidur di bucu bangunan berlapik kotak dan kebencian warga kota.

FAIRUZ HAFIIZ OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 16/6/2022

Advertisement