KUALA LUMPUR: Putrajaya negeri kedua terkaya di Malaysia berdasarkan pendapatan penengah. Namun, ia merekodkan kadar bantut kanak-kanak keempat tertinggi di negara ini. Mengapa?
Ramai yang terkejut apabila mendapat tahu kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya adalah 24.3 peratus, seperti yang dilaporkan melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Malaysia (NHMS) 2016. Kadar ini lebih tinggi dari kadar prevalens negara ketika itu, iaitu 20.7 peratus.
Kadar bantut yang tinggi sering dikaitkan dengan kawasan pedalaman dan kemiskinan tegar. Namun pada tahun 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Putrajaya mempunyai kadar kemiskinan terendah di Malaysia.
Manakala negeri dengan kadar bantut kanak-kanak tertinggi pula ialah Kelantan diikuti Terengganu dan Pahang, seperti yang dilaporkan dalam NHMS 2016. Ketiga-tiga negeri ini merekodkan antara kadar miskin tegar tertinggi negara ini.
Statistik DOSM menunjukkan 79.7 peratus daripada 32,700 isi rumah di Putrajaya merupakan pekerja bergaji.
Jadi mengapa kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi hingga melangkaui kadar bantut di Sabah – negeri dengan kadar miskin tegar tertinggi di Malaysia?
Seharian di pusat jagaan
Itulah juga soalan yang diutarakan Timbalan Pengarah (Pemakanan) Cawangan Pemakanan Keluarga Kementerian Kesihatan, Zaiton Daud.
“Sering kita sebut tentang betapa majunya Putrajaya dan bagaimana majoriti penduduk di sana kakitangan kerajaan, maka dari segi jaminan pendapatan mungkin tidak banyak masalah. Jadi, mengapa kadar bantut Putrajaya begitu tinggi sekali?
“Set data yang sama menunjukkan kadar bantut terendah ialah di Kuala Lumpur, pada 10.5 peratus. Ini pelik. Apa bezanya Kuala Lumpur dengan Putrajaya?” soalnya ketika bercakap dalam forum dalam talian bertajuk Kanak-Kanak Bantut: Pencegahan dan Model Solusi, anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Katanya Kementerian Kesihatan sedar bantut bukan sekadar masalah nutrisi. Pelbagai faktor lain mempengaruhi kadar bantut seperti kadar celik kesihatan, persekitaran dan akses kepada penjagaan kesihatan.
Zaiton percaya apa yang berlaku di Putrajaya disebabkan kanak-kanak kecil menghabiskan masa terlalu lama di bawah penjagaan taska. Ini mengakibatkan mereka lebih berpotensi terdedah kepada amalan pemakanan kurang baik seperti tidak mendapat makanan yang cukup atau berkhasiat.
Kebanyakan keluarga di Putrajaya pula terdiri daripada ibu bapa bekerja, menyebabkan anak-anak hampir seharian di taska.
“Inilah yang mengganggu amalan pemakanan anak-anak. Ketika mengambil anak-anak dari taska pula, ibu bapa dalam keadaan penat setelah seharian bekerja. Sukar untuk memberikan yang terbaik kepada keluarga apabila diri sendiri keletihan.
“Adakah lagi tenaga untuk menyediakan makanan berkhasiat di rumah, atau mungkinkah mereka akan ‘tapau’ sahaja?” katanya.
Persoalan ini penting kerana keterbantutan salah satu ukuran utama bagi mengenal pasti masalah malnutrisi kronik dalam kalangan kanak-kanak. Selain fizikal yang pendek, malnutrisi kronik boleh menyebabkan seorang kanak-kanak mengalami masalah kesihatan sepanjang hayat.
Sukar dipantau
Bukan semua taska di Putrajaya berdaftar dan ini menyebabkan situasi ini sukar dipantau dan dikawal, kata Zaiton.
Taska berdaftar diwajibkan mematuhi peraturan dan undang-undang ketat yang memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan terbaik selari dengan Akta Kanak-kanak 611 dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, mana-mana individu sama ada pengusaha, pengurus, penyelia atau pengasuh yang bekerja di taska wajib mengikuti dan lulus Kursus Asuhan Permata. Ini meliputi latihan dalam penjagaan, keselamatan dan penyediaan makanan seimbang bagi bayi dan kanak-kanak di pusat asuhan.
Setakat 8 Mac 2022, terdapat 63 taska berdaftar di Putrajaya dengan 28 daripadanya beroperasi di premis tempat kerja.
Bagaimanapun, jumlah ini terlalu sedikit untuk menampung keperluan penjagaan populasi kanak-kanak bawah lima tahun di Putrajaya yang dianggarkan seramai 13,200 orang pada tahun 2020, menurut data DOSM.
Situasi ini menyebabkan ibu bapa kurang pilihan dan terpaksa menghantar anak-anak ke pusat asuhan tidak berdaftar.
Malangnya, pilihan sedemikian boleh mendatangkan kesan yang serius.
Kualiti penjagaan di taska berkemungkinan besar penyebab utama kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi. Walaupun kenyataan ini belum dapat dibuktikan secara konklusif, setidak-tidaknya ia dapat menerangkan mengapa kadar bantut di Malaysia melangkaui perbezaan pendapatan, kaum dan jurang bandar-desa.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak dari isi rumah dengan pendapatan rendah jauh lebih berkemungkinan menjadi bantut kerana mereka lebih terdedah kepada faktor penyebab tersembunyi seperti kesukaran mendapatkan makanan berkhasiat, penjagaan kesihatan dan sistem sanitasi yang baik.
Pengasuh di taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar memang sentiasa dilatih dan dilengkapi dengan cara penjagaan dan panduan pemakanan bagi kanak-kanak dan bayi, namun situasinya mungkin berbeza di taska tidak berdaftar.
Walaupun begitu, ibu bapa terutamanya mereka yang berpendapatan rendah lebih memilih untuk menghantar anak ke taska tidak berdaftar kerana faktor yuran yang rendah selain senarai menunggu yang tidak lama.
Ibu bapa kurang pendidikan
Mungkin itu yang berlaku di Putrajaya, kata Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik di Universiti Putra Malaysia Prof Dr Norhasmah Sulaiman.
“Bukan semua yang tinggal di Putrajaya itu berpendapatan tinggi. Ramai yang boleh kita kategorikan dalam golongan B40. Saya rasa inilah sebab kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi, kerana ramai sebenarnya miskin bandar.
“Jurang pendapatan di Putrajaya sangat luas. Kos sara hidup juga tinggi. Saya yakin kebanyakan ibu di Putrajaya bekerja dan terpaksa menghantar anak ke taska, jadi mereka sukar hendak pastikan anak-anak mendapat makanan berkhasiat,” katanya.
Untuk mengelakkan bantut, adalah penting untuk menjaga pengambilan nutrisi kanak-kanak dalam 1,000 hari pertama kehidupan yang bermula dari dalam kandungan. Jika gagal mengawal kualiti pemakanan atau membetulkan masalah bantut dalam tempoh itu, kanak-kanak yang terkesan akan mengalami masalah sepanjang hayat. Ini termasuk keciciran dalam akademik, kesukaran mendapat pekerjaan baik dan lebih berisiko mendapat penyakit.
Negara yang mengalami masalah bantut juga secara purata kerugian tujuh peratus pendapatan per kapita, menurut satu kajian World Bank.
Norhasmah berkata Kementerian Kesihatan telah menjalankan pelbagai usaha untuk mendidik pengasuh mengenai amalan pemakanan terbaik bagi kanak-kanak.
Bagaimanapun, masih ada faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan itu. Antaranya, tahap pendidikan ibu bapa atau yang lebih khusus tahap pendidikan si ibu.
Merujuk kepada satu kajian yang diterbitkan dalam The Lancet, beliau berkata ada beberapa kluster penyebab kadar bantut meningkat.
“Kluster pertama ialah pendidikan ibu bapa yang berkait rapat dengan keadaan sosioekonomi mereka. Kluster kedua yang dibincangkan ialah tahap pendidikan si ibu dan bagaimana ia mempengaruhi cara seorang ibu mengendalikan amalan pemakanan di rumah,” jelasnya.
Katanya perkara ini boleh dinilai melalui peruntukan sumber dalam isi rumah.
“Adakah si ibu mengutamakan pemakanan? Apabila anak-anak menghabiskan lebih lapan jam sehari di taska, bagaimana ibu yang bekerja memastikan anak-anak mendapat zat makanan secukupnya?
“Kadangkala ibu bapa berpendapatan tinggi tetapi kadar bantut dalam kalangan keluarga sedemikian masih tinggi. Mengapa? Mungkin kerana terlalu sibuk sehingga tidak dapat menyediakan hidangan berkhasiat untuk anak-anak. Mungkin juga mereka tidak sedar betapa pentingnya penyediaan makanan berkhasiat untuk pertumbuhan kanak-kanak,” katanya.
Menurut NHMS 2016, sekitar 19.2 peratus kanak-kanak Malaysia berusia 6 hingga 23 bulan tidak mencapai jumlah minimum pengambilan hidangan yang disyorkan.
Tiada banyak pilihan
Isu penderaan di taska dan pusat penjagaan kanak-kanak di Putrajaya juga agak kerap dilaporkan di media massa dalam tempoh 10 tahun ini.
“Terdapat data yang menunjukkan kadar penderaan kanak-kanak di taska Putrajaya sangat tinggi. Saya yakin kadar penderaan yang tinggi di taska ada hubungan dengan kadar bantut di wilayah itu,” kata Dr Amar HSS Singh, seorang pakar pediatrik yang pernah berkhidmat selama 40 tahun di bawah Kementerian Kesihatan.
Garasi Bernama cuba mendapatkan data yang dimaksudkan dari laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak berjaya. Koleksi data yang tersedia untuk capaian umum hanyalah ringkasan statistik kes penderaan yang dikira sebagai kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001. Jumlah kes penderaan pula tidak dikategorikan mengikut negeri atau taska yang terlibat.
Keluarga yang hanya ibu atau bapa bekerja memang bergelut dengan kos sara hidup sejak sebelum pandemik COVID-19. Yang pastinya situasi pandemik ini menyebabkan keadaan semakin teruk dan memaksa lebih ramai ahli keluarga keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Jika kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja, tentunya penjagaan anak-anak terpaksa diserahkan kepada pihak lain.
“Data JKM menunjukkan hanya terdapat 6,000 taska atau pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar di Malaysia. Ini kurang daripada 10 peratus jumlah taska berdaftar yang diperlukan di negara ini, iaitu sekitar 60,000.
“Bayangkan, 90 peratus daripada taska di Malaysia tidak berdaftar,” katanya.
Pada 2018, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan hanya 4,302 pusat penjagaan kanak-kanak di Malaysia berdaftar. Menterinya ketika itu berkata berdasarkan data DOSM, sebanyak 38,333 lagi diperlukan.
Dr Amar mengakui situasi sedemikian membuatkan ibu bapa berada dalam keadaan ‘tersepit’.
“Sukar untuk mereka buat aduan mengenai pusat penjagaan kanak-kanak bermasalah kerana mereka memerlukannya.
“Jika mereka membuat laporan, mereka berisiko hilang khidmat asuhan yang diperlukan. Jadi mereka terpaksa memilih untuk tidak melaporkannya,” katanya. – BERNAMA
Berada lama di taska punca kadar bantut naik?
- Advertisement -