Suntikan dana RM4 juta: ITBM kini kembali mengorak langkah

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) kini kembali mengorak langkah dalam mendapat tempat di hati masyarakat.

Pengerusinya, Ustaz Sabri Azit berkata, dana suntikan awal daripada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak RM4 juta membolehkan ITBM dapat beroperasi semula dan organisasinya disusun semula dengan ada pekerja yang telah dinaikkan pangkat serta mendapat gaji yang berpatutan.

- Advertisement -

Menurutnya, selepas dilantik menjadi Pengerusi di ITBM berkuatkuasa 10 Mei 2020, beliau memikul tanggungjawab untuk memulihkan ITBM semula setelah melihat ramai pekerjanya terdiri daripada orang Islam sendiri walaupun mengalami sedikit kesukaran semasa era pandemik Covid-19.

“Lambakan buku-buku ITBM selama 7 tahun sebelum ini, berjaya dikurangkan dengan begitu ketara sekali.

“Bayangkan kadar sewa untuk kita simpan buku-buku berkenaan mencecah sebanyak RM16,000 sebulan dan syukur Alhamdulillah kerana kini kita berjaya mengurangkan kadar bayaran tersebut,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerai.

Sabri ketika hadir melancarkan buku, Arus Dari Gunung: Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Mengulas lanjut, Ustaz Sabri berkata, antara keuntungan ITBM yang dijana adalah melalui terjemahan sijil-sijil yang merupakan pendapatan utama syarikat.

“Sekarang ini, kita melaksanakan penerbitan karya-karya asli tempatan yang bermutu dan kita cuba pasarkan ia di pasaran global.

“ITBM bukan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mana kita berasaskan keuntungan syarikat dan kita amat mengalu-alukan tajaan-tajaan daripada luar. Selain itu, kita bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan dan libat urus dengan syarikat-syarikat milik kerajaan.

“Insya-Allah, keadaan (di ITBM) ini akan pulih setelah menyertai pesta buku antarabangsa dan dunia setelah dua tahun kita tidak berpeluang menyertai pesta buku ini akibat pandemik Covid-19. Antara pesta buku dunia yang akan kita sertai ialah di Dubai dan Indonesia,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Arus dari Gunung: Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Jun lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut  ialah dua daripada tiga penulis atau penyelenggara buku berkenaan, Puzi Hadi dan Hassan Baseri Budiman.

Dalam pada itu, menurut Ustaz Sabri, buku Arus dari Gunung,Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021 mengandungi cerpen, sajak dan fakta yang mana buku ia bukan fiksyen dan melibatkan fakta-fakta yang diambil daripada mangsa itu sendiri dan laporan-laporan akhbar. 

Katanya, buku tersebut akan menjadi satu rekod abadi yang dapat dikekalkan dan sejarah kejadian itu akan dapat dikenang untuk generasi seterusnya, selain ia menjadi hadiah istimewa buat  penduduk di kawasan parlimen Jerai.

“Untuk makluman, terbitan buku ini bukan untuk komersial tetapi  lebih kepada mengenang semula peristiwa tragedi ini untuk menjadi rekod kepada legasi yang akan datang kerana pada 100 tahun yang akan datang semua tidak akan ada lagi di muka bumi ini maka pada waktu itu akan diwarisi oleh  anak-anak legasi kita dan buku ini juga sebagai bukti satu rekod.

“Justeru sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di WTC ini, saya ambil kesempatan untuk lancarkan buku Arus dari Gunung: Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021,  yang mana kita juga telah mengedarkan ia kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.

“Ada dalam kalangan mangsa itu yang sampai menitis air mata setelah memperoleh buku ini, mereka merasakan satu kenangan indah untuk direkodkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/202.

- Advertisement -