Benteng sungai dibina penduduk akhirnya runtuh

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

TUMPAT:
Pemilik dua rumah yang terbabit dengan kejadian tebing sungai runtuh di Kampung Kok Keli awal pagi semalam berharap kerajaan bertindak segera bagi mengelakkan tanah runtuh makin meluas.

Penduduk terbabit, Ismail Ibrahim, 38, berkata, sebelum ini beliau membina sendiri benteng dan bangsal tempat berehat serta belajar al Quran.

Katanya membina sendiri benteng selepas dua aduan yang dibuat kepada pihak berkenaan tiada tindakan.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya struktur bangunan tersebut yang dibina ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setahun lalu runtuh kira-kira jam 3 pagi semalam.

Ismail Ibrahim

“Saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM40,000. Sebelum ini saya membuat aduan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan penghulu juga datang melihat keadaan tebing sungai, tetapi tiada tindakan susulan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Seorang lagi penduduk Wan Ifani Wan Mohamad, 36 turut berharap kerajaan dan agensi berkaitan bertindak segera bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak meluas ke tempat lain.

Menurutnya juga arus deras dari arah pintu air menyebabkan hakisan di dasar sungai sehingga berlaku runtuhan tebing.

Kata beliau hakisan tebing sungai berlaku sejak 2014 meninggalkan impak besar terhadap struktur tebing.

“Kejadian runtuhan semakin melebar sehingga penduduk terpaksa membuat sendiri benteng,” katanya.

Sementara itu Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, kejadian tebing sungai runtuh semalam melibatkan dua rumah penduduk.

Menurutnya beliau akan mengadakan pertemuan dengan JPS bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk sejak lima tahun lalu.

“Insya-Allah kita akan jumpa dengan JPS bagi mencari jalan bagaimana masalah ini dapat ditangani segera kerana ia membabitkan nyawa penduduk.

“Saya dimaklumkan kejadian tanah runtuh berpunca aliran arus deras dari pintu air sehingga menghakis tebing sungai,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2022

- Advertisement -