3 ketua pemuda Kelantan bertemu di Forum Rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketika banyak parti politik mendakwa mereka sebagai pejuang rakyat, ada baik kita mengikuti apa hala tuju tiga parti politik teras Melayu di negara ini.

Jangan lepaskan peluang malam esok tiga tokoh anak muda daripada tiga parti berbeza akan tampil menyatakan kerangka hala tuju parti masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama.

Mereka iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Noor Hariri Mohamed Noor dan Ketua Pemuda Amanah Hazmi Hasan.

- Advertisement -

Tiga tokoh anak muda akan tampil di pentas Forum Rakyat Siri 1 anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) malam esok bermula jam 8.30 malam bertempat di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub akan bertindak sebagai moderator.

Pengarah UPKN Ahmad Fathan Mahmood berkata, pada peringkat awal forum tersebut dirancang diadakan di Dewan Besar Balai Islam Lundang, namun terpaksa dipindah ke lokasi lain disebabkan masalah teknikal.

Katanya Forum Rakyat itu membuka gelanggang wacana politik segar dan matang akan diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan.

“Lokasi itu sesuai kerana ia tiada kaitan secara langsung dengan mana-mana parti yang terlibat sebagai panelis pada forum terbabit,” katanya di sini.

Difahamkan lokasi forum dipindah ke Dewan Perniagaan Cina memandangkan Dewan Besar Balai Islam masih dalam penyelenggaraan sistem pendawaian.

Sementara itu pihak penganjur menetapkan beberapa syarat kepada orang ramai yang akan hadir pada forum terbabit.

Antaranya penonton perlu bertenang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang forum berlangsung.

Selain itu mereka tidak dibenarkan membawa bendera parti masing-masing. Begitu juga logo parti pada pakaian dibenarkan.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai. Sama-sama kita berforum secara matang di platform yang sesuai untuk mencari solusi demi masa depan anak muda Kelantan,” katanya pada satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 15/6/2022

- Advertisement -