Rasulullah dihina antara cabaran semasa murabbi ummah

- Advertisement -

KUANTAN: Senator Datuk Idris Ahmad berkata, penghinaan kepada Rasulullah SAW yang berlaku baru-baru ini adalah antara cabaran semasa para murabbi ummah untuk terus menjaga Islam dan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, menegaskan kerajaan mengecam dan mengutuk tindakan dua ahli Parlimen India tersebut yang amat tidak bertanggungjawab.

“Minggu lepas kita dikejutkan dengan kenyataan dua orang ahli Parlimen BJP di negara India yang menghina Junjungan Rasulullah SAW.

- Advertisement -

“Tentunya kita sebagai Kerajaan mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dua ahli Parlimen di negara India tersebut yang amat tidak bertanggungjawab,” ujarnya ketika berucap pada Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, hari ini. Multaqa itu dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Tambahnya, umat Islam bangkit mempertahankan Rasulullah SAW.

Beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga perkara di mana sesiapa memilikinya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan kerana- Nya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Katanya, di seluruh Wilayah Persekutuan pada hari Jumaat lepas telah dibaca teks khutbah bertajuk ‘Kewajipan Mempertahankan Rasulullah SAW’.

Di samping itu, ujarnya Majlis Amal Islami Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menghantar memorandum bantahan kepada Pejabat Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia.

“Inilah antara cabaran semasa kita semua para Murabbi Ummah untuk terus menjaga Islam dan umat Islam,” ujarnya lagi.

Idris juga berkata, institusi masjid, pondok, sekolah agama, kelas KAFA, institusi tahfiz sentiasa menjadi keutamaan peringkat beliau di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Setiap minggu pada hari Khamis, saya akan bertemu dengan ketua-ketua agensi hal ehwal Islam seperti JAKIM, saya akan bertanya tentang apa-apa perkara melibatkan kebajikan tuan puan semua para murabbi ummah,” katanya.

Justeru, ujar beliau kerajaan sentiasa menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan oleh para murabbi ummah yang terdiri daripada imam, guru takmir, guru KAFA, guru institusi pondok dan tahfiz, penyelaras pentadbiran masjid daerah, pegawai masjid dan penyelia KAFA dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat.

“Tentunya, hasil usaha ashabul fadhilah tuan puan semua yang sentiasa mencurah keringat mendidik masyarakat dengan ilmu-ilmu Islam, institusi masjid, surau, sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama terus menjadi medan pendidikan rabbani selain platform penyatuan ummah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 14/6/2022

- Advertisement -