Dadah sintetik kini ancaman membimbangkan

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon
- Advertisement -

MUKADIMAH

Sejak kebelakangan ini, kes jenayah seperti anak membunuh emak dan anak memukul bapa cukup menakutkan. Kebanyakan kes demikian yang sukar dipercayai boleh berlaku membabitkan penagih dadah, terutama dadah sintetik atau tiruan. Begitu hebat penangan dadah sintetik kerana menyebabkan penagih hilang kewarasan hingga ibu bapa sendiri menjadi mangsa. Dadah sintetik yang jelas adalah ancaman besar terhadap negara adalah perkembangan yang membimbangkan. Wartawan HarakahDaily, ZIAUDDIN SHARUDDIN, menemu bual Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon, bagi menyelami isu ini.

- Advertisement -

SOALAN (S): Perkembangan terkini menunjukkan penggunaan dadah sintetik semakin menular di kalangan masyarakat. Apakah pandangan tuan mengenai situasi ini.

JAWAPAN (J): Berdasarkan maklumat yang kita ada, untuk tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, trend penagihan dadah di negara kita telah berubah daripada dadah tradisional kepada dadah sintetik. Berdasarkan kemasukan klien ke fasaliti AADK, sama ada dirawat dalam komuniti atau di pusat rawatan AADK, 60 peratus daripada mereka adalah pengguna dadah sintetik.

Melihat perkembangan ini, kita bimbang dengan keadaan ini. Tahun ini, sempena memperingati Hari Antidadah Kebangsaan (HADK 2022), kita memfokuskan untuk mengingatkan masyarakat mengenai bahaya dadah sintetik dan usaha untuk mencegah lebih baik daripada merawat. Memang penagih dadah sintetik boleh dirawat dan dipulihkan, tetapi mengambil masa lebih panjang dan tidak secepat dadah tradisional.

Kebanyakan penagih dadah sintetik juga mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi dan jantung. Pada masa sama, ada yang mengalami masalah mental menyebabkan mereka bertindak agresif, murung dan berkhayal. Jika pengguna yang overdose (terlebih dos) atau tegar, boleh menyebabkan mereka maut. Inilah trend yang berlaku sekarang.

S: Apakah yang menyebabkan perubahan daripada dadah tradisional kepada sintetik.

J: Keadaan ini berlaku apabila pihak berkuasa, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak agresif menyekat penawaran, membendung penyeludupan dan merampas bekalan dadah menyebabkan bekalan dadah tradisional sukar diperolehi, manakala pembekal lebih berminat mengedarkan ke negara lain. Oleh itu, penagih beralih kepada dadah sintetik kerana selain murah, mudah didapati dalam bentuk pil, serbuk dan cecair. Ini bermakna, peralihan berlaku kerana pertama, susah mendapat bekalan dadah tradisional. Kedua, dadah sintetik lebih mudah diperolehi dan murah.

S: Apakah personaliti penagih dadah sintetik?

J: Berdasarkan pengalaman kita di fasiliti AADK, apabila kita menerima kemasukan klien berumur 40-an ke atas, kebanyakan mereka menggunakan dadah tradisional. Bagi golongan remaja hingga 40 tahun, kebanyakan adalah pengguna dadah sintetik. Pengguna dadah sintetik dari segi luaran nampak macam biasa, segak dan kemas kerana ada dadah perangsang yang tidak memberi kesan luaran. Kalau dadah tradisional, imej pengguna ialah comot, compang camping dan kurus menyebabkan mereka sangat mudah dikenali. Pengguna dadah sintetik kelihatan seperti biasa. Kalau anak-anak yang mengambil dadah sintetik, mereka kelihatan macam biasa di rumah. Cuma apabila sampai peringkat overdose, menjadi lebih agresif dan baru nampak.

S: Ada laporan bahawa golongan profesional juga menggunakan dadah sintetik.

J: Dadah sintetik sebenarnya ada macam-macam jenis seperti perangsang yang menyebabkan kita berdaya tahan dan tidak penat. Jika pergi ke pusat hiburan dan mahukan enjoyment (kegembiraan), maka dia ambil. Jenis ini melibatkan golongan terpelajar, profesional dan mereka yang bekerja. Kadang-kadang diambil untuk menghilangkan tekanan tempat kerja, menghilangkan kesakitan dan terutama yang hendak enjoyment.

S: Apa kesan trend penggunaan dadah sintetik.

J: Seperti yang sering dilaporkan, jika pengguna dadah sintetik bertindak agresif hingga hilang pertimbangan, dia boleh menyebabkan jenayah berat, termasuk membunuh ahli keluarga sendiri. Kalau kita tengok berdasarkan laporan media, katakan kalau dia telah mengelar leher ahli keluarganya, kebanyakan mereka tak lari. Mungkin bersembunyi di belakang rumah atau duduk saja tengok mangsa kerana dia tak sedar apa yang dia buat.

Dari segi kesan kepada negara, kita boleh rawat cuma penagihan dadah sintetik lebih mencabar dan kompleks dari segi rawatan. Ia lebih mahal kerana jika mereka mengalami sakit mental, kita kena rujuk kepada psikiatrik di hospital dan hanya selepas stabil, baru kita boleh buat pemulihan. Jika mereka ada masalah lain seperti buah pinggang, tekanan darah tinggi, jantung dan lain-lain, perlu rujuk ke hospital untuk rawat mereka dahulu.

Katakanlah mereka ada sakit mental, kalau dulu kita boleh hantar untuk pemulihan dengan pengiring mungkin seorang. Namun, sekarang memerlukan satu pasukan. Mungkin tiga atau empat orang. Ini memberikan tekanan terhadap sumber yang ada dan meningkatkan kos. Dari segi penjagaan, jika ada kemurungan, mereka tak boleh bercampur dengan kumpulan yang besar dan perlu ditempatkan berasingan. Ini mengambil ruang yang banyak di fasiliti kita.

Kebanyakan ahli keluarga kadang-kadang tidak sedar anak menghadapi masalah ini. Mereka mungkin macam biasa ketika mengambil dadah sintetik, tetapi ada masa apabila putus bekalan, mereka bertindak agresif. Baru keluarga tahu bahawa anak mereka seorang penagih. Mungkin ketika itu, banyak perkara yang tidak diingini berlaku. Itu yang kita bimbang.

Sebab itu kita pada masa ini, untuk mengurangkan kos rawatan, kita cuba menyedarkan masyarakat bahawa mereka perlu mengambil perhatian terhadap ahli keluarga dengan melihat perubahan tingkah laku anak-anak. Mereka boleh merujuk kepada AADK atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika ada perubahan dari segi tingkah laku anak-anak supaya kita boleh membuat intervensi awal dan kemurungan boleh diatasi supaya tidak menjadi kronik. Itu yang kita harapkan.

Ikuti soal jawab lengkap dalam Harakah Edisi Cetak

- Advertisement -