Dadah sintetik dorong penagih bertindak kejam

Dadah syabu bernilai RM6.62 juta yang dirampas di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2021
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Kejadian jenayah kejam membabitkan penyalahguna dan penagih dadah sintetik yang semakin kerap dilaporkan media massa bukan saja menakutkan, malah membimbangkan masyarakat.

Bayangkan seorang anak sanggup membunuh ibu, manakala abang sanggup menikam adik gara-gara diri dikuasai dadah sintetik yang semakin menular di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

- Advertisement -

Jika sebelum ini, penyalahgunaan dadah di Malaysia tertumpu kepada dadah tradisional jenis opiat dan ganja, keadaan kini berubah dengan Stimulan jenis Amfetamine (ATS) atau dadah sintetik semakin banyak digunakan..

ATS atau dadah sintetik adalah sekumpulan jenis dadah perangsang yang dihasilkan melalui tindakan bahan kimia dan bertindak terhadap sistem saraf pusat. Tiga jenis ATS ialah Amphetamine (Kuda, WY dan Yaba), Methamphetamine (Syabu, Ice, Sejuk, Batu) dan Ecstacy (Goyang).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata, penggunaan dadah sintetik kini merangkumi kira-kira 69.8 peratus daripada jumlah penyalahguna dan penagih dadah.

Katanya, kebimbangan lebih utama ialah 66 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahguna dan penagih dadah sintetik membabitkan golongan muda, iaitu yang berumur antara 19 hingga 39 tahun didapati meliputi 66 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahguna dan penagih dadah berkenaan.

Berdasarkan Kajian Prevalen Penagihan Dadah 2022, katanya bagi setiap seorang penyalahguna dan penagih dadah yang dapat dikesan oleh pihak berkuasa, terdapat empat orang lagi yang masih bebas.

“Mengikut statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 123,139 orang penagih dan penyalahguna dadah dikesan oleh pihak berkuasa pada 2021, ini bermakna anggaran penagih dan penyalahguna dadah yang masih tidak dapat dikesan dan menerima rawatan sewajarnya adalah seramai 492,556 orang,” katanya.

Daripada keseluruhan penyalahguna dan penagih yang dikesan, 80,246 orang atau 65 peratus adalah klien AADK dengan 73,113 orang atau 91 peratus menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti, manakala 7,133 orang atau 9 peratus mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengakui trend peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik termasuk syabu di Malaysia. Ini berdasarkan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas sebanyak 27,050.07 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah antara Januari hingga November 2021 dengan 7,919.75 kg adalah syabu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata turut menunjukkan rampasan tertinggi ialah Ephedrine (bahan kimia untuk menghasilkan syabu berkualiti tinggi) dan bahan kimia lain untuk membuat syabu sebanyak 8,734.5 kg.

Menurutnya, rampasan ganja pula sebanyak 3,232.08 kg yang menunjukkan penurunan 23 peratus.

“Pada tempoh sama, sebanyak 2,140.52 kg heroin turut dirampas, diikuti Erimin 5 (2,028.45 kg), pil Captogon (650 kg), Ketamin (465.11 kg), pil Yaba (343.80 kg) dan pil Ecstacy (259.71 kg) dan Kafien (283.41 kg).

Penularan penyalahgunaan dadah sintetik bukan hanya berlaku di Malaysia, malah kini menjadi masalah dunia, terutama di Asia Tenggara yang sejak dahulu adalah antara pengeluar dadah utama.

Ini terbukti berdasarkan amaran Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) mengenai peningkatan mengejutkan dalam pengeluaran dan perdagangan dadah sintetik serantau pada tahun 2021.

Laporan UNODC bertajuk: “Dadah Sintetik di Asia Timur dan Asia Tenggara: Cabaran dan Perkembangan Terkini 2022”, mendedahkan bahawa lebih satu billion pil methamphetamine atau syabu dirampas di Asia Timur dan Tenggara pada tahun lalu.

Dadah syabu dan heroin bernilai kira-kira AS$100 juta yang dirampas di kawasan Segi Tiga Emas berhampiran sempadan Myanmar pada tahun 2020

Pengeluaran dan penyeludupan dadah meningkat ketara di negara berhampiran wilayah Sungai Mekong seperti Kemboja, Laos, Vietnam, Thailand dan Myanmar. Ini membolehkan kartel dadah Asia membanjiri pasaran dengan dadah sintetik bernilai berbilion-bilion dolar ketika ekonomi global bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Keadaan ini berpotensi menjadi semakin tidak terkawal jika kerajaan rantau itu tidak mengubah strategi dan menangani punca yang menyebabkan jenayah penyeludupan dadah sampai ke tahap seperti ini,” kata wakil serantau UNODC untuk Asia Tenggara, Jeremy Douglas.

Menurutnya, sindiket jenayah terancang mengambil kesempatan ketidakstabilan politik serantau selain penularan wabak Covid-19.

Sebagai contoh, katanya rampasan kuasa tentera di Myanmar yang menyebabkan beberapa wilayah sempadan tidak dikawal undang-undang dan mudah dieksploitasi. Peningkatan pengeluaran menyebabkan harga dadah jatuh dan mendorong kepada lonjakan permintaan di pasaran.

“Harga dadah syabu berterusan menurun di Asia Tenggara, termasuk di Malaysia dan Thailand, manakala ketulenan dadah itu kekal tinggi.

“Sindiket dadah mempunyai semua ramuan yang diperlukan untuk terus mengembangkan perniagaan termasuk kawasan untuk pengeluaran, akses kepada bahan kimia, laluan perdagangan dan perhubungan untuk pemindahan produk serta sasaran jualan kepada populasi besar dengan kuasa berbelanja,” kata Douglas.

Katanya, sindiket dadah melihat rantau Asia sebagai sasaran hab pelanggan yang mempunyai potensi untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

Bagi penagih baharu, mereka melihat dadah sintetik sebagai ‘selamat’ tanpa sebarang kesan ketagihan. Namun hakikatnya, dadah ini memberi kesan lebih teruk termasuk kerosakan kekal pada otak yang menyumbang kepada masalah mental dan penggunaan berlebihan boleh membawa maut.

Pengambilan dadah sintetik secara berpanjangan menjadikan keadaan mental tidak stabil yang dizahirkan dengan kelakuan ganas, kawalan emosi yang terjejas serta kecenderungan membunuh diri.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Profesor Madya Dr Rusdi Abd Rashid, berkata, dadah sintetik paling kerap dikaitkan dengan gangguan mental yang teruk sehingga membuatkan penyalahguna dan penagih dadah bertindak di luar pemikiran rasional.

Pakar psikologi perubatan itu berkata, dadah sintetik boleh menyebabkan peningkatan hormon ‘dopamine’ iaitu sejenis ‘neurotransmitter’ pada otak yang berperanan mengawal keseimbangan emosi dan fungsi kognitif.

“Dopamine dirembeskan di bahagian otak. Namun pengambilan dadah tertentu boleh merangsang, merencatkan rembesan dan mengganggu fungsi neurotransmitter,” katanya.

Menurutnya, ketidakseimbangan neurotransmitter boleh menyebabkan gangguan mental seperti kemurungan, mania, perubahan tingkah laku dan keganasan, sekali gus nembawa kepada gejala psikosis. – HARAKAHDAILY 14/6/22

- Advertisement -