
Oleh ZULHAIDI MANSOR
“Saya beli nasi lemak biasa, air minuman dan kuih muih untuk makan tengah hari, cuma perlu bayar RM5 sahaja atau kurang.”
Biar betul. Jumlah harga juadah makan tengah hari lengkap dengan air minuman dan pencuci mulut, aneka jenis kuih muih cuma RM5 dalam pada isu kenaikan harga makanan heboh diperkatakan di Malaysia sebelum ini.
Itulah realitinya, sebagaimana diutarakan Razali Hamid, 43, ketika ditemui HarakahDaily baru-baru ini tatkala penjawat awam itu sedang membeli juadah makan tengah harinya di sebuah trak makanan (atau kini lebih popular dikenali dengan istilah ‘food truck‘) berhampiran Hospital Pakar KPJ Tawakal di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur.
Menurut lelaki itu, dia merupakan antara pelanggan setia sejak beberapa tahun yang lalu dan boleh dikatakan hampir setiap hari dia membeli makanan di food truck milik Mohd Arshad Awad dan isterinya, Suraya Mohd Maidin.

“Harga untuk juadah makan tengah hari termasuk minuman dan kuih di sini di bawah RM5 sahaja atau kurang.
“Mana nak cari harga serendah RM5 di tempat lain. Jadi, inilah tempat terbaik untuk mendapat makanan yang sedap pada harga yang sangat berpatutan.
“Perkara lain yang menarik minat saya untuk membeli makanan di sini ialah kerana kepelbagaian makanannya. Antara yang selalu saya beli di sini ialah buah-buahan segar, nasi lemak, bihun dan kuih muih,” ujarnya yang mendaftar di bawah syarikat bisnes, Arshad Maju STN Enterprise (Arshad Maju).

Sehubungan itu, Razali menegaskan bagi orang ramai khususnya yang berada berhampiran lokasi food truck itu boleh membeli juadah makanan di situ, khususnya untuk makan tengah hari kerana harganya yang berpatutan, berbanding di tempat lain harganya mencecah antara RM8 hingga RM10, dan lebih lagi sehingga berbelas-belas ringgit jika dicampur harga minuman atau jika ditambah kuih muih.
Pastinya ramai di antara kita yang ingin membeli makanan yang sedap pada harga yang berpatutan. Namun, perkara yang paling sukar dibuat pada ketika ini yang menyaksikan barangan naik harga.
“Harga nasi lemak lauk ayam di gerai berhampiran rumah saya naik sebanyak 50 sen dari RM6 kepada RM6.50. Itu belum kira harga barangan di pasar dan pasar raya, memang semua naik,” rungut seorang suri rumah, Fatimah Aminuddin kepada HarakahDaily.

Namun, lain pula dengan jualan makanan di food truck milik Mohd Arshad dan Suraya. Dari kejauhan, sudah kelihatan ia tersedia menawarkan pelbagai juadah termasuk nasi lemak, nasi campur, lauk pauk, kuih muih, buah-buahan segar, dan makanan segera seperti nugget dan sosej.
Berniaga sambil sedekah
Pasangan pemilik food truck ini sangat ramah, mesra dan ikhlas melayan kru HarakahDaily walaupun ketika itu mereka sedang sibuk melayan pelanggan yang hendak membeli juadah makanan tengah hari di situ.

Apabila ditanya apakah rahsia sehingga mereka boleh menjual makanan dengan harga yang masih rendah, pasangan yang mempunyai enam orang anak yang berumur antara 23 hingga 38 tahun itu mengakui mereka mengamalkan prinsIp berniaga sambil bersedekah.
Makanan sedap, harga pula sangat berpatutan serendah RM5 malah dianggap murah dan paling istimewa, berniaga sambil bersedekah.
Itulah yang dipraktikkan oleh pasangan pemilik trak makanan ini dalam melayan setiap pelanggan yang datang dengan penuh ikhlas tanpa memikirkan untung atau rugi.

Menurut Mohd Arshad, 52, dia tidak memikirkan sangat tentang untung atau rugi, tetapi perkara yang paling dititkberatkan ialah kepuasan pelanggannya terhadap juadah makanan jualannya itu.
“Saya berniaga sambil bersedekah kerana Allah S.W.T bagi memuaskan hati pelanggan. Meskipun pada waktu pasca pandemik ini, kami masih lagi menjual makanan pada harga yang sama dan tidak banyak perubahan pada harga makanan yang dijual di sini,” kongsinya.
Tambahnya, bagi sebungkus nasi lemak, ia dijual pada harga serendah RM1.50. Sementara untuk makanan tengah hari, dia menjual nasi campur serendah RM4.50 sehingga RM6 sahaja.
Selain berniaga di situ antara jam tengah hari hingga 2.30 petang, dia meneruskan perniagaan itu di tempat lain pula, di kawasan Petaling Jaya, Selangor berdekatan dengan Tabung Haji Kelana Jaya.

Simpati dengan pelanggan
Menurut Suraya, 58, pula, dia dan suaminya itu sudah hampir 19 tahun menjalankan bisnes food truck di Jalan Pahang Barat off Jalan Pahang itu bermula daripada lokasi di belakang bangunan Koperasi Tentera di situ sehinggalah lokasinya berubah di tempat sekarang yang bersebelahan Hospital KPJ Tawakkal.
“Sebelum ini, kami juga bekolaborasi dengan Koperasi Tentera di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia yang membantu dari segi penyediaan tapak bagi memudahkan kami berniaga dengan harga sewa tapak serendah RM250 hingga RM350 sebulan sahaja,” tuturnya yang pernah bekerja di sebuah syarikat swasta selama 15 tahun sebelum terlibat dalam perniagaan food truck bersama suaminya itu.

Sementara, menyentuh tentang pendapatan hasil bisnes food truck, Arshad mengakui ia semua bergantung kepada rezeki yang ditetapkan Allah S.W.T.
“Pendapatan pakcik sebagai peniaga tidak tentu tetapi rezeki semua daripada Allah S.W.T. Kadang-kadang sehari pakcik boleh memperoleh sebanyak RM500 sehingga RM600 sehari.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, pendapatan harian hasil bisnes food truck ini boleh mencecah sehingga lebih RM1,000,” ujarnya yang sebenarnya sudah lebih 24 tahun menjual makanan melalui jualan di food truck.

Berkongsi pandangan berhubung isu kenaikan harga makanan di Malaysia baru-baru ini, Arshad berkata, dia simpati dengan orang ramai memandangkan amai pelanggan yang datang membeli makanan di food truck miliknya itu sudah lama mengenali dirinya dan kebanyakan mereka merupakan pelanggan tetap.
“Oleh sebab itu, saya bertawakkal kepada Allah S.W.T dalam menghadapi isu kenaikan harga makanan yang kian meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini.
“Bagi anak-anak saya pula, saya terapkan mereka dengan nilai-nilai murni dalam Islam seperti menghormati orang tua, tidak bertengkar dan jangan bergaduh dengan orang lain. Hal ini yang menyebabkan ke mana sahaja anak-anak saya pergi, semua orang menyenangi sikap mereka, insya-Allah,” tuturnya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, ujar Arshad, dia merancang untuk membeli rumah sendiri di Ijok, Selangor hasil keuntungan peniagaannya bersama isterinya.
“Selepas lebih dua dekad terbabit dengan bisnes food truck, saya berjaya membeli dua bidang lot tanah dengan bayaran tunai. Jadi, impian saya selepas ini ialah untuk memiliki kedai sendiri,” akhirinya. – HARAKAHDAILY 13/6/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!