Cadangan selesaikan masalah air di Rantau Panjang dan Pasir Mas

- Advertisement -

JAJAHAN Rantau Panjang dan Pasir Mas antara daerah dalam negeri Kelantan yang berlaku perubahan dari aspek pembangunan dan pertambahan penduduk dalam tempoh sekitar dua dekad ini.

Dari aspek kunjungan pelawat atau pelancongan juga, Rantau Panjang antara salah satu destinasi terutama bagi yang mahu membeli-belah atau ‘shopping’. Barangan pelbagai jenama antarabangsa ‘Made in Thailand’ begitu mudah dan murah boleh didapati di sini tanpa perlu ‘gi alek Siam’.

Pasir Mas juga ada bermacam tarikan sendiri antara salah satu tersohornya dikatakan orang adalah kerana melahirkan gadis-gadis atau ‘gewe’ tercantik menawan di Malaysia.

Apapun yang ada di dua jajahan ini, asasnya ialah berlaku perkembangan di situ dengan melibatkan peningkatan permintaan termasuk kepada keperluan asas prasarana dan infrastruktur serta perkhidmatan.

Antaranya tentulah bekalan air bersih atau terawat yang menjadi keperluan wajib pelbagai penggunaan harian individu, isi rumah dan segala premis sedia wujud. 

Walaupun memiliki loji rawatan air, tetapi ternyata bersama hari, minggu, bulan dan tahun yang berlalu, maka permintaan melebihi penawaran menyebabkan berlaku masalah bekalan air bagi dua jajahan ini.

Ironinya, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang giat membina dan menaik taraf LRA di seluruh negeri ketika ini. Ia hasil peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan sendiri.

Pun besarnya peruntukan diluluskan, bukan semua akan siap sekelip mata atau kuasa “Jadi, maka jadilah” (kun faya kun). Maha Suci Allah, kerajaan manusia bukan memiliki kuasa seperti Tuhan yang menganugerahkan pemerintahan pentadbiran di dunia ini kepada hamba-Nya. 

Semuanya kini dalam proses yang memberangsangkan untuk disiapkan dan memenuhi keperluan semasa hingga untuk beberapa puluh tahun mendatang, insya-Allah.

Alternatif segera jangka pendek

Untuk rekod, LRA Rantau Panjang telah dibina pada tahun 1980 dan mula beroperasi pada tahun 1981. Tetapi, LRA tersebut tidak mempunyai proses yang lengkap di mana perbekalan air hanya terawat menerusi pemberian klorin untuk nyahkuman semata-mata.

Menurut bekas Ketua Jabatan Operasi dan Pengeluaran AKSB, Mohd Safrurazi Salleh dan berpengalaman juga sebagai Jurutera Projek Khas Chicha dan Baku (2003-2007), punca air dari LRA itu adalah dari tiga telaga tiub.

‘Setiap satu berkapasiti hingga 1,300 meter padu (m³) sehari menjadikan keupayaan maksimum LRA tersebut 3,900 m³ sehari. Ianya adalah menculupi bekalan untuk pekan Rantau Panjang dan sekitar termasuk jalan ke Lalang Pepuyu dan Jalan ke Pasir Mas.

“Walau bagaimanapun, setelah LRA Kelar siap dibina dan mula beroperasi pada tahun 2005, LRA Rantau Panjang ditamatkan operasi kerana bekalan air yang dibekalkan olehnya telah diambil alih oleh LRA Kelar melalui Tangki Gual Tinggi,” ujarnya.

Difahamkan setelah beberapa tahun LRA Kelar beroperasi, permintaan telah meningkat di mana berdasarkan rekabentuk asal, LRA Kelar berkemampuan maksimum 64 juta liter sehari (JLH). Iaitu sehingga tahun 2020 sahaja, yakni 15 tahun selepas LRA siap ditambah air tidak berhasil (NRW) sebanyak 40 peratus. 

Namun realitinya, NRW bagi Jajahan Pasir Mas dimaklumkan melebihi 50 peratus ditambah pula peningkatan akaun melebihi 5 peratus setahun, menjadikan keadaan lebih teruk. Peningkatan permintaan di Pasir Mas itu adalah tinggi di mana bilangan akaun pada tahun 2006 adalah sebanyak 18,578 berbanding terkini Mei 2022 sebanyak 38,494. Iaitu meningkat sebanyak 19,916 akaun atau 107 peratus. Ini memberikan peningkatan purata sebanyak 6-7 peratus setiap tahun.

Dengan keadaan tersebut, pekan Rantau Panjang mula menunjukkan penurunan tekanan air bermula tahun 2018. Alternatif yang ada adalah menggunakan dan mengaktifkan semula LRA Rantau Panjang.

Oleh itu, terdapat cadangan supaya beberapa tindakan perlu dan boleh disegerakan iaitu:

Pertama, selenggara semula tiga telaga tiub tersebut;

Kedua, pasang semula pam yang dibina semasa pembinaan LRA Kelar;

Ketiga, laksanakan kerja-kerja minor eletrikal;.

Keempat, gunakan pressure filter yang mengandungi penapis lengkap dengan green sand;

Kelima, air dari LRA Kelar dimasukkan ke dalam suction tank dan dicampur air dari telaga yang ditapis; dan

Keenam, pam kepada pengguna secara terus dengan kaedah pressure controll bersama VSD.

Di mana dari pengalaman pihak-pihak berkaitan, diyakin semua kerja-kerja di atas memerlukan masa tidak sampai dua bulan sekiranya semua kakitangan AKSB bekerjasama dan faham keperluan sebenar.

Demikian cadangan bagi keperluan di dua jajahan ini khususnya, yang boleh dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah bekalan air bersih atau memenuhi desakan keperluan tidak mencukupi.

Semoga ada pertimbangan daripada pihak yang berkenaan.

MOHD AZREEN MUSTAPA
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 14/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -