MTHQK umpama ‘hari raya’ bagi para pencinta Al-Quran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022M/1433H telah dirasmikan pembukaannya, malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, MTHQK seumpama ‘hari raya’ bagi para pencinta Al-Quran.

Katanya, majlis itu akan menyaksikan alunan Al-Quran dipertandingkan dengan sungguh-sungguh.

- Advertisement -

“Akhirnya memberi sebuah makna besar terhadap kecintaan kita kepada Allah SWT dan pembawa risalah Al-Quran ini iaitu Junjungan Besar Nabi SAW,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah merasmikan majlis yang berlangsung di Pusat Islam Iskandar Johor itu. Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.

MTHQK 2022 dengan tema “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” berlangsung selama enam hari sehingga 17 Jun ini.

Sehubungan itu, Idris mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama menghayati dengan mengambil ibrah daripada bacaan Al-Quran yang akan dialunkan qari dan qariah dari seluruh negara.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa daripada JAKIM, Kerajaan Negeri Johor, seluruh agensi persekutuan dan negeri yang bertungkus lumus menjayakan majlis itu.

“Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua untuk mempelajari, menghayati dan mengamalkan ibrah petunjuk mukjizat agung, Al-Quran,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -