Khuzaimi yakin Malaysia ke Piala Asia 2023

Peluang layak masih terbuka buat skuad Harimau Malaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee percaya ‘pintu’ ke Piala Asia 2023 masih terbuka untuk skuad kebangsaan.

Beliau berkata barisan pemain negara perlu mengekalkan fokus untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh, malam esok.

Selepas tewas kepada Bahrain pada Sabtu lepas, pemain Negeri Sembilan itu yang lebih mesra dengan panggilan Jimmy berkata hanya kemenangan ke atas Bangladesh akan mencerahkan peluang skuad Harimau Malaya beraksi pada saingan tersebut tahun depan.

“Kita masih ada peluang kalau melihat daripada kedudukan pasukan dalam saingan kumpulan lain.

“Jadi diharap peminat dapat terus turun ke stadium ketika menentang Bangladesh untuk memberi sokongan kepada kami,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Selepas mengharungi dua perlawanan, Bahrain di kedudukan teratas Kumpulan E dengan enam mata sementara Malaysia dan Turkmenistan masing-masing mengumpul tiga mata di tempat kedua dan ketiga manakala Bangladesh tercorot tanpa mata.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia 2023.

Berdasarkan ranking lima naib juara terbaik selepas dua perlawanan, Malaysia berada di kedudukan terakhir sementara Thailand, Kyrgyzstan dan India di posisi teratas dengan mengumpul enam mata manakala Filipina (empat mata) di tempat keempat.

Sementara itu, Ahmad Khuzaimi berkata skuad kebangsaan perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan ketika berdepan Bangladesh.

“Apa yang perlu dilakukan adalah fokus dan tidak melakukan kesilapan bodoh,” katanya yang mengakui kesilapan-kesilapan tidak sepatutnya menyebabkan pasukan negara tewas 1-2 di tangan Bahrain.

Pada aksi tersebut, Ahmad Khuzaimi mencipta bantuan jaringan kepada Mohamadou Sumareh untuk meletakkan Malaysia di hadapan, namun skuad ‘Dilmun’s Warriors’ bangkit meledak dua gol termasuk satu sepakan penalti untuk meraih tiga mata penuh. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -