Kenapa ibu bapa pilih Kelantan untuk pendidikan anak-anak? (1)

- Advertisement -

CUTI SEKOLAH baru sahaja berakhir, kali ini meriahnya menyamai cuti Hari Raya Aidil Fitri lalu. Orang ramai masih memilih berehat, berlibur dan selesaikan urusan ‘tertunda’ merisik, meminang, nikah kahwin, kenduri dan sebagainya.

Kota Bharu ramai dah sedia maklum, sesak hari-hari dengan kunjungan pelawat atau pelancong. Tapi cuti sekolah ini, hampir semua jajahan Kelantan sesak juga seperti raya. Terima kasih semua yang sudi bertandang ke negeri kami ini.

Antara perbincangan atau tumpuan yang dikenal pasti dari kunjungan ke Kelantan ini pada cuti sekolah baru-baru ini adalah mengenai sekolah juga. Ibu bapa khususnya, tercari-cari sekolah buat anakanda mereka mengaji di sini, kebanyakannya dari luar Kelantan.

Sanggup mereka hendak hantar anak-anak bersekolah menerima pendidikan jauh dari keluarga. Perkataan sedihnya ialah ‘berpisah’, jauh di mata tetapi dekat di hati. Soalnya kenapa pilih Kelantan, negeri lain bukan tak ada sekolah kan? Dah itu yang pedihnya ialah kesanggupan perpisahan itu.

Tetapi itulah sejak sekian lama di mana Kelantan menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka bersekolah di sini. Jika ditemubual mereka, pasti dari pelbagai sudut cerita yang dicerap akan dapat disimpulkan satu kalimah iaitu ‘keyakinan’.

Para ibu bapa ini bercakap mengenai kekaguman mereka kepada budaya beragama di negeri ini. Melihat kepada pentadbiran negeri berteras dan bersungguh untuk menjulang tinggi syariat, ketika sama giat mengekang kemungkaran.

Juga memiliki pengajian tradisi dan pengajian berstruktur yang kekal berdaya tahan khasnya pondok dan pengajian agama. Selain pengajian tidak rasmi di lebih 650 masjid dan lebih 2,000 surau di negeri ini.

Ditambah juga kos hidup yang mampu dan sederhana serta persekitaran selamat dimiliki negeri ini. Bak kata-kata memuji yang masyhur, ‘Harga warung, citarasa hotel’.

Utamanya adalah ibu bapa ‘menyerahkan’ anak mereka untuk berdikari di bumi Serambi Makkah ini demi menuntut ilmu. Bukan catatan cemerlang rekod gemilang akademik sangat yang mereka harapkan. Tetapi kemenjadikan anak-anak agar terbentuk menjadi insan yang akan berguna dan berjaya di dunia serta akhirat.

Pencarian itu ditemui dan diyakini akan dapat dari acuan pendidikan yang wujud di Negeri Kelantan. Sudah tentu selain pembelajaran dan pengajaran di sekolah, adalah persekitaran negeri meliputi rakyatnya, budaya dan adatnya juga diharap akan ‘mempengaruhi’ tumbesaran anak dalam aspek pendidikan.

Sekolah atau institusi pendidikan yang paling menjadi pilihan ibu bapa dari luar Kelantan khususnya itu sama ada mereka sedari atau tidak, ia berada di bawah tadbir urus Yayasan Islam Kelantan (YIK). Ia di bawah Kerajaan Negeri Kelantan, ada 93 semuanya.

Itu tidak termasuk pondok-pondok pengajian kitab thurat atau tradisi dan rangkaian sekolah di bawah Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang dipayungi di bawah Tuanku Sultan.

Perhatian kepada pendidikan jelas sebagaimana diungkapkan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob. Katanya, cabaran besar dalam proses pendidikan ialah dimensi pengaruh pendidikan moden yang dirosakkan Barat kerana memisahkan Tuhan dengan manusia. 

Negara kita Malaysia juga menurut beliau, tidak terlepas daripada perangkap ini melalui penjajahan ke atas negara umat Islam. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan pula berkata, negara kita semacam kehilangan punca dan arah tuju dalam pendidikan dengan acuan yang dibentuk oleh Barat. 

“Hatta sebahagian daripada pelajar aliran agama yang menerima pendidikan pada peringkat sekolah terpaksa berakhir dalam sistem Barat pada peringkat pengajian tinggi. Kita masih berada dalam kerangka yang luar dari Islam dengan ikatan struktur federalism yang ada. 

“Tanpa sedar sepenuhnya, kita masih menjadi ejen kepada tamadun yang asing dari agama kita sendiri. Pendidikan tidak dapat menyelesaikan masalah manusia kecuali hanya sekadar memenuhi keperluan dunia semata-mata,” ulas beliau. 

Budaya ilmu di negeri Kelantan bukan sahaja membumi subur kepada golongan pelajar sekolah atau institusi pendidikan, tetapi juga dalam masyarakat. Hinggakan dakwah dan ilmu agama menjadi nafas atau nadi kewujudan insan itu sendiri. 

Dalam pendidikan ini, Kelantan ternyata sudah menjadi pelopor dan rujukan penting di mana acuan atau silibus atau ramuan sama juga telah dibawa ke negeri lain seperti Johor, Sarawak, Selangor, Sabah, Vietnam, Kemboja dan lain-lain.

Kejayaan dalam akademik yang tidak semata-mata aliran agama, tetapi juga meliputi sains dan teknikal atau vokasional ini sudah Kelantan tempa menerusi pencapaian sekolah dan juga individu pelajar. Skor yang dicapai pernah banyak kali berada di puncak rekod kebangsaan.

Namun terbesar adalah kemampuan pendidikan di Kelantan menerapkan nilai holistik dan tujuan sebenar pendidikan itu. Keberkatan para guru dan pembawaan ilmu diterap dari gagasan agung rabbani. Negeri ini menawarkan solusi menerusi Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang telah didokumenkan.

Ketahui mengenai DPRK yang akan dicerakinkan dalam siri kedua tulisan ini. Bersambung…… 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre

Senarai sekolah YIK adalah sebagaimana berikut:
1        Maahad Sains Tok Guru
2        Maahad Muhammadi Perempuan
3        Maahad Muhammadi Lelaki 
4        Maahad Pengajian Islam
5        Maahad Amir Indera Petra
6        Maahad Yaakubiah
7        Maahad Ar-Rahmah          
8        Maahad Syamsul Maarif (P) 
9        Maahad Syamsul Maarif (L) 
10        Maahad Muhammadi Pasir Mas
11        Maahad Muhammadi Rantau Panjang
12        Maahad Saniah              
13        Maahad Ahmadi                    
14        Maahad Muhammadi Tumpat
15        Maahad Muhammadi Pasir Pekan
16        Maahad Rahmaniah    
17        Maahad Muhammadi Gua Musang
18        Maahad Raudhah Al-Nazirin
19        Maahad Al-Sabirin                 
20        Maahad Taqaddum Maarif 
21        Pusat Pengajian Pondok 
22        Maahad Tahfiz Al-Qur’an Wal Qiraat Pulai Chondong
23        Maahad Tahfiz Al-Qur’an Wal Qiraat Al-Asriah
24        Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah
25        Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin
26        Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi
27        Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman
28        Maahad Tahfiz Al-Qur’an Wal Qiraat Darul Saadah Lilbanat
29        Maahad Tahfiz Sains Nurul Hidayah
30        SMU(A) Tarbiah Mardziah, Panchor (ditukar kepada Maahad)
31        SMU(A) Ittihadiah, Tanjung Pagar
32        SMU(A) Azhariah, Melor
33        SMU(A) Taqaddumil Ilmi, Ketereh
34        SMU(A) Sullamiah, Bunut Payong
35        SMU(A) Hamidiah, Padang Lepai
36        SMU(A) Istiqamah, Badang
37        SMU(A) Darul Anuar, Pulau Melaka
38        SMU(A) Muhammadiah, Beris Panchor
39        SMU(A) Al-Hidayah Islamiah, Chap Bekelam
40        SMU(A) Ahmadiah, Banggol Judah
41        SMU(A) Al-Hasaniah, Pangkal Jenerih
42        SMU(A) Ismailiah, Binjai Manis
43        SMU(A) Tarbiah Diniah, Tok Uban
44        SMU(A) Khairiah, Banggol Setol
45        SMU(A) Rahmaniah, Repek
46        SMU(A) Tarbiah Diniah, Meranti
47        SMU(A) Darul Saadah, Batu Karang
48        SRU(A) Tarbiah Islamiah, Lubok Gong
49        SMU(A) Syukuriah, Lubok Setol
50        SMU(A) Tahiriah, Tasek
51        SMU(A) Khairiah, Padang Pak Amat
52        SMU(A) Nurul Huda, Bukit Yong
53        SMU(A) Diniah, Permatang Rambai
54        SMU(A) Nurul Falah, Cherang Ruku
55        SMU(A) Al-Ihsan, Dalam Pondok
56        SMU(A) Rahmaniah, Paloh
57        SRU(A) Darul Ulum Diniah, Tanah Merah
58        SMU(A) Diniah, Bukit Kechik
59        SMU(A) Ri’ayatul Diniah, Bukit Mas
60        SMU(A) Ansoriah, Kemahang
61        SMU(A) Meheliah, Getting
62        SMU(A) Tarbiah Islamiah, Chabang Empat
63        SMU(A) Bustanus Saadah, Morak
64        SMU(A) Tarbiah Diniah (Tahfiz), Bunut Sarang Burung
65        SMU(A) Falahiah, Sungai Sok
66        SMU(A) Al-Saadah, Batu Mengkebang
67        SMU(A) Syukuriah, Bukit Sireh
68        SMU(A) Nurul Ihsan, Kandek
69        SMU(A) Taqwa, Chiku
70        SMU(A) Nahdatul Ulum, Jeli
71        SMU(A) Diniah, Batu Melintang
72        Tadika Tengku Anis I, Kota Bharu
73        Tadika Tengku Anis Iii, Pasir Mas
74        SMU(A) Al-Kauthar, Peringat 
75        SMU(A) Yunusiah, Banggu
76        SMU(A) Saadatul Qura, Bahagia
77        SMU(A) Darus Salam, Sungai Peria
78        SMU(A) Mardziah, Kubang Batang
79        SMU(A) Nurul Huda, Kajang Sebidang
80        SMU(A) Tarbiah Islamiah, Kuala Kajang
81        SMU(A) Arabiah, Ternang
82        SMU(A) Darul Ulum Muhammadiah, Kolam
83        SMU(A) Darul Iman, Beris Lalang
84        SMU(A) Darul Ulum, Jedok
85        SMU(A) Fitrah, Pasir Sat
86        SMU(A) Tarbiah Islamiah, Lepah
87        SMU(A) Nurul Ittifak, Nering
88        SMU(A) Diniah, Bongor
89        SMU(A) Mardziah, Jabo
90        SMU(A) Darul Ulum, Padang Embun
91        SMU(A) Al-Falah, Siram
92        SMU(A) Balaghul Mubin, Rong Chenok
93        SMU(A) Ittifakiah, Telosan – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -