Kadar pengangguran turun, indikator baik buat negara

- Advertisement -

PASCA pemulihan negara selepas dibadai COVID-19 menyaksikan sektor ekonomi mula berjalan rancak. Hal ini mendatangkan kesan positif kepada aktiviti ekonomi negara.

Namun begitu, ia juga mendatangkan beberapa kesan yang kurang digemari andai tidak diurus sebaiknya. Antaranya peningkatan inflasi yang mencetuskan kenaikan harga barangan.

Pun begitu masih ada juga berita baik buat negara. Kadar pengangguran negara pada April 2022 menyaksikan penurunan yang memberangsangkan.

Kedudukan tenaga buruh pada bulan April terus mengukuh dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.50 juta orang, berbanding 16.44 juta orang pada Mac.

Ini adalah trend yang diinginkan ekoran peningkatan pengangguran yang terjadi ekoran sekatan ekonomi tatkala COVID-19 melanda negara pada 2020-2021 yang lalu.

Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, peningkatan tenaga buruh dalam tempoh ini adalah ekoran lebih banyak aktiviti perniagaan sempena sambutan Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri diadakan pada waktu tersebut. 

Hal ini selari dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang menggalakkan sektor pelancongan dan industri berkaitan pelancongan untuk meneruskan aktiviti mereka.

Alhamdulillah, meskipun dihimpit dengan krisis makanan di peringkat global serta peningkatan inflasi, hal ini sedikit sebanyak memberi isyarat bahawa ekonomi negara ke arah fasa pemulihan. 

Sebagai rakyat kita perlu yakin dengan sentimen positif ini agar keyakinan pelabur terhadap negara terus terpasak kukuh.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -