Andalusia, Malaysia Airlines kembali jalin kerjasama: Sasar 60,000 jemaah 1444H

Ida Riswana (empat dari kiri) bersama Muhammad Najmi (empat dari kanan), serta Md Daud (tiga dari kiri) dan Ibrahim (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara Andalusia dan MAB di Kuala Lumpur pada 12 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/ JAMAL KEMALA)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Menyedari permintaan umat Islam dari seluruh dunia, khususnya di Malaysia yang kini dalam kerinduan untuk mengerjakan umrah dan haji di Makkah pada era pasca pandemik ketika ini, syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah ternama, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) dengan kerjasama penyedia penerbangan sewa khas untuk haji dan umrah, Amal by Malaysia Airlines kini kembali menjalinkan kerjasama dengan menyasarkan 60,000 jemaah bagi tahun 1444 hijrah.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Hajah Ida Riswana Idris berkata, sehubungan itu pihaknya telah melatih pekerja seramai 280 orang yang bertugas di ibu pejabat dan 43 cawangan Andalusia seluruh negara terdiri daripada para mutawwif dan pegawai pemasaran syarikat itu dengan berkampung di The Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur untuk membina semula semangat dan keyakinan mereka.

- Advertisement -

Menurut beliau, melalui kerjasama dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang menaungi Amal by Malaysia Airlines, ia memberi keyakinan kepada pihak kerajaan dan institusi kewangan di Malaysia bahawa bidang perkhidmatan umrah dan haji tempatan akan kembali sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan yang baik dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kita semua mengetahui apabila pandemik Covid-19 melanda dunia sepanjang dua tahun sebelum ini, bidang pelancongan merupakan sektor utama yang paling terkesan sekali yang telah meragut punca kehidupan dan pekerjaan ratusan ribu pekerja yang terlibat dalam pelbagai bidang pelancongan.

“Oleh itu, kami berharap melalui kerjasama Andalusia dan MAB ini dapat membuka semula peluang-peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan khususnya pelancongan umrah,” katanya.

Jalinan kerjasama antara Andalusia dan Amal by Malaysia Airlines berlangsung sejak tahun 2014 lagi. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Di samping itu ujarnya, beliau merakamkan penghargaan yang tidak terhingga atas kepercayaan MAB untuk meneruskan usahasama kali kelima ini sejak dari tahun 2014 tanpa sebarang masalah antara kedua-dua pihak.

Menurutnya lagi, pihak Andalusia percaya bahawa kolaborasi berkenaan selama ini telah berlangsung dengan cukup baik. 

“Rakan strategik Andalusia dengan sikap toleransinya itu selama inilah yang membuatkan usahasama antara Andalusia dan MAB berkekalan; dan sehingga ini, pihak kami telah menerbangkan seramai 121,963 orang jemaah melalui Malaysia Airlines.

“Ikhlas saya katakan, seluruh warga Andalusia telah benar-benar bekerja keras dan kami bertawakkal kepada Allah S.W.T sepanjang berkhidmat dalam tempoh ini lebih-lebih lagi apabila seorang demi seorang diuji dengan jangkitan Covid-19 apabila mula berhadapan dengan para jemaah dan orang ramai,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam waktu yang sama, Andalusia melihat sambutan orang ramai yang tidak dijangka daripada awal untuk mengerjakan umrah.

“Jumlahnya meningkat setiap bulan dan kemuncaknya ialah pada bulan Ramadan dan Syawal tahun ini (1443H) yang mana hampir 5,000 orang jemaah telah kami terbangkan bagi menunaikan umrah.

“Alhamdulillah juga secara keseluruhannya, bagi tahun 1443 hijrah, Andalusia berjaya menguruskan hampir 14,000 jemaah umrah walaupun dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.

Andalusia yakin dengan kerjasama bersama Amal by Malaysia Airlines, perkhidmatan umrah dan haji tempatan akan kembali sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan yang baik dan menyumbang kepada ekonomi negara. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian (Mou) Penerbangan Malaysia Airlines A330-200 antara Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) musim 2022/2023 bersamaan 1444H di The Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang di sini pada hari ini.

Perjanjian berkenaan dimeterai dalam rangka bagi membawa 34,000 jemaah umrah menerusi penerbangan terus ke Madinah bermula Ogos ini hingga Mei 2023.

“Kerjasama itu turut melibatkan nilai sebanyak RM102 juta, selain jadual penerbangan hampir setiap hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pulang melalui Jeddah atau sebaliknya,” jelas beliau.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor yang mewakili MAB; Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Haji Md Daud Che Ngah; dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.

Hadir sama, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmmu dan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Muhammad Najmi ketika berucap pada MoU Penerbangan Malaysia Airlines A330-200 antara Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) musim 2022/2023 bersamaan 1444H di The Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang pada 12 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)

Dalam pada itu, Ida mengakui cabaran sepanjang mengendalikan jemaah umrah sepanjang tempoh peralihan wabak Covid-19 ini daripada fasa pandemik ke endemik adalah sebagai suatu pengalaman yang sukar ditukar ganti.

“Pengalaman yang penuh cabaran pahit manis dan tidak mudah dilupakan. Sepanjang tempoh ini, ia menuntut kesabaran yang tinggi dan kesediaan untuk menerima perubahan demi perubahan. 

“Kadang-kadang perubahan yang tiba-tiba dari segi perubahan prosedur operasi standard (SOP) sama ada dari negara Arab Saudi mahupun Malaysia sendiri,” ujarnya.

Selain itu menurutnya, Andalusia juga ingin melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak kerajaan yang selama ini sepanjang pandemik telah membantu pekerja-pekerja Andalusia seramai lebih 200 orang dengan bantuan subsidi sebanyak RM600 setiap seorang sehingga awal tahun 2022.

Mengulas lanjut, Ida berkata, pihaknya percaya bahawa niat Andalusia hanya satu yang sedaya upaya mengekalkan harga mampu milik pakej Andalusia serendah mungkin supaya ia boleh membuka peluang lebih ramai lagi umat Islam untuk berkunjung ke Baitullah. 

“Andalusia juga berkeyakinan bahawa bakal tetamu Allah S.W.T. akan lebih yakin berurusan dengan syarikat yang dapat menjamin penerbangan dan semua pakej yang ditawarkan mempunyai ‘confirmed seat’

“Pihak kami juga ingin memberikan keselesaan kepada jemaah semasa penerbangan melalui penerbangan MHA330 iaitu penerbangan kebanggaan negara Amal by Malaysia Airlines,” katanya.

 secara keseluruhannya, bagi tahun 1443h, Andalusia berjaya menguruskan hampir 14,000 jemaah umrah dalam tempoh yang singkat. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Terdahulu, Muhammad Najmi semasa berucap pada MoU berkenaan berkata, sambutan daripada jemaah amat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, semenjak penerbangan pertama kami pada akhir November tahun lepas, sehingga berakhirnya musim umrah baru-baru ini, permintaan dan jumlah para jemaah adalah di luar jangkaan kami.

“Saya baru balik dari Arab Saudi baru-baru ini dan keadaan di sana sudah hampir kembali normal. Saya boleh lihat usaha yang dilakukan oleh pihak Arab Saudi  untuk keadaan di tanah suci kembali normal.

“Bagi saya, ia merupakan satu perkara yang menggalakkan, pasti akan mempercepatkan pemulihan sektor umrah. Insya-Allah dengan keadaan yang hampir kembali normal, musim 1444H kelak, lebih ramai jemaah yang akan menunaikan umrah,” jelasnya.

Menurutnya, pada musim yang akan datang, pihaknya akan menawarkan penerbangan sebanyak antara 18 sehingga 20 kali seminggu. 

“Bagi tahun hadapan (2022), bermula Januari sehingga akhir musim umrah, perancangan kami setakat ini adalah sekurang-kurangnya 14 kali seminggu.

“Walau bagaimanapun kami akan sentiasa memantau perkembangan semasa untuk sektor umrah untuk penambahan jumlah penerbangan jika berpeluang,” ujar beliau.

Tambah Muhammad Najmi, pihaknya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Andalusia sebagai rakan pengendali umrah atas kepercayaan usaha  menjayakan kerjasama ini.

“Saya percaya kita mempunyai tujuan yang sama untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan mengembangkan lagi sektor umrah di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2022

- Advertisement -