Umat Islam jangan sertai festival berunsur agama lain

festival
- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menegaskan agar umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana unsur-unsur keagamaan yang terdapat dalam festival berkenaan. Meskipun terdapat pandangan yang menjelaskan festival tersebut turut berkait dengan kebudayaan Jepun, namun ia tidak sesekali mengenepikan pandangan bahawa ia tetap mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.

Prinsip ini selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kesemua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran aqidah. 

Dalam hal ini, alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbangkan bersama. Dewan Ulamak PAS Pusat mencadangkan agar langkah Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan di dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 yang telah diadakan pada Mei lalu, setelah dikenalpasti mempunyai unsur-unsur keagamaan yang boleh merosakkan akidah, dicontohi oleh semua pihak. 

Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival berkenaan. Nasihat yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama tersebut jelas berpandukan maslahah orang ramai. 

Di samping itu, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain. Ia perlu dibendung secara konstruktif bagi menjaga maslahah ammah di negara ini

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -