Shakir Ameer DAP keliru dan mengelirukan

Gagal faham tanggungjawab Muslim menasihati Muslim

- Advertisement -

MENJAWAB kenyataan Saudara Shakir Ameer, Pemuda DAP Shah Alam merangkap Ahli Majlis MBSA berkenaan Festival Bon Odori, saya berpendapat bahawa beliau salah faham dan cuba mengelirukan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam terhadap kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pertamanya, Islam meletakkan satu asas yang kukuh dalam aspek akidah, di mana setiap orang Islam yang mengucapkan kalimah syahadah termasuk Saudara Shakir haruslah hanya mengesakan Allah serta tidak mempersekutukan-Nya dengan agama lain. Ini jelas menerusi firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Kafirun ayat 1-2:

- Advertisement -

قُلۡ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلۡكَـٰفِرُونَ لَاۤ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah”.

Begitu juga Islam melarang umatnya meniru atau menyerupai perbuatan agama lain, terutama yang membawa kepada perbuatan syirik dan khurafat. Hadis daripada Ibn Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

 “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” 

[Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)]

Mempersekutukan Allah tidak hanya terhad kepada menyembah tuhan selain Allah secara terang, malah ia juga termasuk melakukan apa-apa ritual atau perbuatan yang membawa kepada penyembahan selain Allah. Ini termasuklah perbuatan tarian yang dilakukan dalam festival Bon Odori, yang mana menurut kepercayaan mereka adalah untuk menghiburkan roh atau hantu yang telah mati, berdasarkan kisah bertajuk ‘The Transformation Text on Mu-lien Saving His Mother from the Dark Regions’.

Atas sebab-sebab itu, perayaan Bon Odori adalah diharamkan untuk disambut oleh umat Islam. Malah, perkara sama turut disebut oleh SS Mufti Pulau Pinang yang menegaskan bahawa penyertaan orang Islam dalam Festival Bon Odori boleh membawa kepada syirik.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Menteri selaku orang yang dilantik menjaga hal ehwal Islam, bahkan juga kepada semua Muslim yang beriman termasuk Saudara Shakir untuk mengingatkan kepada umat Islam yang lain supaya tidak menyertai festival ini. Mengapa? Kerana ianya berunsur khurafat apabila terdapat penyembahan roh, malah terdapat unsur meniru agama lain yang jelas bertentangan dengan akidah umat Islam.

Tidak ada siapa yang menghalang festival ini dianjurkan untuk orang yang bukan beragama Islam seperti yang disebut Saudara Shakir. Kita menghormati kebebasan beragama semua pihak. Pada masa yang sama, kita juga diwajibkan mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akidah. Dan inilah yang gagal difahami oleh Saudara Shakir Ameer dan DAP.

Saudara Shakir juga menyatakan bahawa kenyataan Menteri dan PAS adalah suatu tindakan yang menggugat perpaduan kaum yang dibina sejak sekian lama. Ingin kami tegaskan, menyemai perpaduan adalah amalan yang mulia dan amat dituntut dalam konteks Malaysia sebagai negara majmuk. Namun tidak bermakna atas nama menyemai perpaduan, kita perlu menggadaikan prinsip dan akidah yang menjadi teras pegangan kita, termasuk Saudara Shakir yang beragama Islam. Sekali lagi, inilah yang gagal difahami oleh Saudara Shakir dan DAP.

Nasihat saya kepada Saudara Shakir Ameer, berhentilah mengelirukan rakyat Malaysia untuk agenda politik murahan sebegini. Tiada salahnya seorang Muslim berpesan kepada Muslim yang lain berkenaan akidah. Dan hormatilah keputusan Mufti, serta pihak berkuasa agama yang mempunyai fakta dan maklumat yang tepat dalam isu ini sebelum mengeluarkan pendapat. Jangan gadaikan prinsip agama hanya kerana agenda politik. 

NAZIR HELMI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 9/6/2022

- Advertisement -