Pasangan Malaysia-Perancis berjalan kaki 500km

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lain orang lain caranya. Itulah yang dilakukan oleh Hafizah Bachik, 45 bersama suaminya, Roman Onillon, 40, yang memulakan ekspedisi berjalan kaki sejauh kira-kira 500 kilometer (km) semalam dengan mengutip sampah bermula dari pekan Rasa, Selangor ke Kuala Perlis sebelum menuju ke Langkawi.

Biarpun perbuatan itu dianggap ‘gila’ oleh sesetengah pihak kerana berjalan dalam cuaca panas dan jarak yang jauh, namun ia tidak mematahkan semangat pasangan itu untuk melakukan sesuatu di luar kebiasaan demi menyampaikan mesej kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Hafizah, ketika dihubungi Bernama berkata idea yang dicetuskan suaminya itu dilakukan kerana ingin mencipta sesuatu kelainan dan mencabar diri selepas dua tahun mereka ‘terperangkap’ dan tidak dapat mengembara ke luar negara disebabkan COVID-19.

“Kami akan berjalan kaki kira-kira 20 hingga 25 km sehari sambil mengutip sampah seperti botol plastik dan pelitup muka yang dibuang di sepanjang jalan, dengan tindakan itu kami berharap usaha kecil ini akan memberi kesedaran kepada orang ramai pentingnya menjaga alam sekitar sekali gus melindungi bumi daripada pemanasan global,” katanya yang telah berumah tangga sejak 2013.

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata pada mulanya beliau tidak begitu yakin dengan keupayaan dirinya kerana tidak pernah berjalan kaki sejauh itu namun, selepas dipujuk suaminya dengan melakukan beberapa percubaan dan latihan fizikal, beliau berfikir mampu menggalas cabaran tersebut.

“Sebelum bulan puasa kami cuba berjalan kaki dari kediaman kami di EkoCheras Mall ke Perdana Botanical Garden sejauh 14 km dan pada masa sama kami kutip sampah, itu pertama kali pengalaman saya dan bermula dari situ, saya yakin boleh melakukan lebih jauh lagi,” katanya yang turut melakukan latihan fizikal lain bagi membina stamina badan.

Atas faktor keselamatan, pasangan itu akan berjalan kaki setiap hari melalui jalan raya biasa bermula seawal 8 pagi yang dijangka mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam sebelum berhenti di setiap persinggahan untuk bermalam dengan keseluruhan perjalanan dijangka mengambil masa 22 hari.

Pasangan itu dijangka tiba di Kuala Perlis pada 29 Jun nanti.

Sepanjang ‘ekspedisi’ mereka hanya berbekalkan peralatan seperti kamera aksi GoPro, penyepit sampah dan plastik sampah sementara barangan keperluan lain akan dibawa oleh kenderaan penaja yang akan berada di setiap tempat penginapan.

Sementara itu, Roman yang berasal dari Perancis dan sudah empat tahun berada di Malaysia berkata sebelum ini mereka pernah mengutip sampah ketika melancong ke Cameron Highlands dan Morib tetapi bukan berjalan kaki.

“Kami ingin menyampaikan mesej tentang kesedaran alam sekitar. Perkara paling mudah untuk dilakukan ialah berhenti membuang botol plastik menerusi tingkap kereta, jangan buang puntung rokok atau mengotorkan tempat-tempat yang indah, jika tidak, kita telah mencemarkan bumi ini,“ katanya yang sudah mengembara ke 40 negara.

Bagi yang ingin memberi sokongan dan mengikuti perkembangan harian perjalanan pasangan ini, boleh layari platform media sosial seperti Facebook dan InstagramDiscover Evolution atau Tiktok, Fizah and Roman. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -