KUALA TERENGGANU: Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan memberikan komitmen untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan berkenaan jalan yang menghubungkan Hulu Besut dengan Kuala Krai.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, ini bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan masyarakat di sekitar.
Beliau menyatakan perkara itu pada Majlis Penyerahan Geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Hulu Besut, hari ini.
Ketika bercakap kepada media pada majlis itu, beliau berkata sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, projek pembinaan jalan raya sejauh kira-kira 12 kilometer itu telah melalui proses mengeluarkan tender, namun telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Jadi saya percaya ia boleh dipercepatkan dan sebab itu saya akan berunding dengan kerajaan pusat, khususnya kementerian berkenaan, dengan harapan dapat meluluskan semula pembinaan jalan itu,” ujarnya.
Mengenai majlis penyerahan geran itu, beliau berkata sememangnya pemilikan tanah merupakan satu perkara amat besar dan bernilai ertinya.
“Alhamdulillah, tercapailah hasrat para penerima untuk memiliki tanah sendiri sebagai tempat berteduh mahupun diusahakan,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada peserta di kesemua enam rancangan tanah berkelompok (RTB) yang terlibat iaitu RTB Pak Sik, RTB PPRT Belaoh, RTB Bukit Baling, RTB Bukit Merah, RTB Bukit Maaduna dan RTB Sungai Lah kerana berjaya memiliki tanah kerajaan melalui majlis tersebut.
Dr Samsuri untuk menyentuk berkenaan proses untuk membaik pulih gelanggang futsal yang telah diluluskan dan ditambah pula untuk menyediakan gelanggang sepak takraw.
Menurutnya lagi, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan pengambilan balik tanah di Durian Telur untuk dibesarkan jalan sehingga ke Pasir Akar.
“Mmoga berita itu menggembirakan penduduk terlibat,” ujarnya.
Beliau turut menukilkan serangkap pantun.
La Hot Spring nama diberi,
Tempat terkenal seluruh negara,
Tanah diberi rakyat syukuri,
Terenggganu Maju Berkat Sejahtera. – HARAKAHDAILY 9/6/2022