ALOR SETAR: Rumah seorang penduduk di Kampung Sungai Pasir di Dun Bukit Pinang yang roboh dibawa arus deras Isnin lepas mendapat perhatian segera wakil rakyat.
Adun kawasan berkenaan Wan Romani Wan Salim berkata, kejadian berlaku melibatkan bahagian belakang rumah mangsa sehingga merisaukan keluarga mereka.
Katanya, berdasar tinjauan didapati rumah terbabit tidak berapa selamat untuk diduduki kerana hakisan masih terus berlaku.
“Saya simpati terhadap kejadian yang berlaku ke atas keluarga terbabit.
“Namun kita bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana ketika kejadian tiada ahli keluarga berada di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui selepas melawat tempat kejadian semalam.
Turut hadir Pegawai Khas Adun Mohd Firdaus Salleh, Penghulu Kampung Mukim Bukit Pinang, Mohd Amirul dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung dan Keselamatan (JPKK) Ghafar Osman.
Wan Romani yang juga anggota Exco kerajaan negeri turut mencadangkan penduduk terbabit membuat permohonan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Sementara itu pada perkembangan lain Wan Romani berkata, pertandingan memanah tradisional berupaya menarik minat anak-anak muda dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang.
Katanya, acara memanah boleh dijadikan tarikan baharu di Kedah dengan menghidupkan kembali sukan yang popular pada zaman awal kebangkitan Islam.
Menurutnya juga sukan memanah tradisional akan diperkenalkan secara meluas kepada masyarakat yang boleh dijadikan aktiviti sukan keluarga.
“Pertandingan sukan memanah juga dapat mengisi masa lapang golongan belia dan secara tidak langsung dapat mengelakkan mereka terlibat aktiviti negatif,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Program tersebut dirasmikan Pengarah Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Bukit Pinang, Daud Ahmad yang diadakan di Pantai Jamal, pada Sabtu. – UPDA