Pertumbuhan 5 peratus ekonomi negara suku pertama 2022

- Advertisement -

SEMALAM saya menghadiri sesi perbincangan meja bulat anjuran Institut Masa Depan Malaysia berkenaan isu-isu ekonomi semasa bersama YBhg Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, YBhg Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan YBhg Datuk Michael Kang merangkap ahli Majlis Pemulihan Negara serta pakar ekonomi YBhg Prof Emeritus Datuk Dr Norma Mansor dan YBhg Prof Dr Jamal Othman. Turut hadir YBhg Dato’ Seri Dr Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia yang membentangkan kedudukan semasa ekonomi negara. 

Alhamdulillah, Malaysia telah merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar 5 peratus bagi suku pertama tahun 2022 berbanding 3.6 peratus bagi suku sebelumnya.

Walaupun trend pemulihan negara menunjuk penambahbaikan, isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan perlu diberi tumpuan khusus mengambil kira faktor-faktor situasi global seperti konflik di Ukraine, perintah kawalan pergerakan di China serta kadar tukaran wang asing negara yang lemah. Sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 terutama perladangan, perkhidmatan dan pembinaan juga masih berdepan isu kekurangan pekerja yang menjejaskan pemulihan dalam sektor tersebut.

Susulan perbincangan meja bulat ini, saya telah meminta pakar-pakar ekonomi untuk mengemukakan satu kertas cadangan kepada Majlis Pemulihan Negara bagi mengatasi isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sekarang, terutamanya golongan B40. Malah golongan M40 juga terjejas dengan isu inflasi dan kenaikan harga barang. 

Sememangnya, saya memandang serius isu peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini dan impaknya terhadap kebajikan rakyat. Sewaktu pandemik COVID-19, Kerajaan telah membelanjakan lebih RM80 bilion secara suntikan langsung melalui 8 pakej rangsangan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas.

Dalam kita bergerak ke hadapan, angka pertumbuhan ekonomi makro yang dicatatkan akan lebih bermakna apabila ekonomi rakyat turut berkembang seiring.

Kenaikan harga barang perlu diatasi dengan segera oleh semua pemegang taruh supaya rakyat dapat menikmati hasil pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih menyeluruh dan bermakna, insya-Allah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -