Islam tidak boleh mengikut selera hati

- Advertisement -

TAJUK inilah ringkasan yang seringkas-ringkasnya aku boleh lontarkan berkenaan isu Festival Bon Odori dan toleransi dalam beragama.

Panas isu berkenaan Festival Bon Odori dua tiga hari ini. Bon atau Obon ini merupakan sebuah festival masyarakat Jepun yang terbesar disambut di negaranya. Sekarang, menjadi hangat disebabkan kenyataan daripada Menteri agar umat Islam tidak menyertainya. Muncul pula suara-suara ‘Muslim Modern’ yang menyangkal kenyataan tersebut. 

Ringkaskan cerita, JAKIM telah membuat kajian dan mendapati Bon Odori mempunyai pengaruh keagamaan lain. Jika kita buat carian sendiri pun, sambutan ini sebenarnya untuk meraikan roh-roh nenek moyang mereka yang telah meinggal dunia. Dalam Islam, mana ada kita meraikan benda macam ini. Isu perpindahan roh pun kena panggil dengan Jabatan Agama. Apatah lagi perkara semacam ini. 

Maka keluarlah kenyataan daripada YB Senator, Dato’ Ustaz Idris Ahmad agar umat Islam tidak menyertai perayaan ini. Kenyataan ini disokong pula oleh Mufti Pulau Pinang yang menyatakan perkara yang sama dan keterlibatan Muslim dalam ritual ini boleh membawa kepada syirik. 

Isu sebegini sebenarnya bukanlah baharu. Awal tahun dahulu pun telah berlaku isu seperti ini. Semasa perayaan Thaipusam, mantan Perdana Menteri Malaysia, YB DS Najib datang ke kuil dan menyambut perayaan ini secara bersama dengan warga di sana. 

Akan tetapi, nada pada masa ini berbeza. Pada awal tahun dahulu, semua parti (termasuklah pembangkang) berdiri mempersoalkan tindakan ini. YB Faiz Fadzil juga tidak terlepas menanyakan hukum DS Najib membuat perkara tersebut kepada YB Senator Dato’ Idris Ahmad. Namun sekarang ini, mereka seakan-akan mendiamkan diri. Adakah PAN akan mengeluarkan kenyataan yang sama seperti yang dikeluarkan kepada DS Najib dahulu? 

Ya, tidak dinafikan pola masyarakat di tanah air kita sememangnya terdiri daripada pelbagai agama. Ada Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain. Bahkan di dunia ini sememangnya pelbagai agama serta ideologi yang ada akibat peredaran masa dan perkembangan kebudayaan. Perkara ini, tidak dapat tidak, perlu diakui kewujudannya.

Namun, bukanlah bermakna apabila kita mengakui kewujudan agama-agama ini tempat kita menyebabkan kita perlu bercampur dalam pengamalan serta kepercayaan. Setiap agama mesti ada prinsip serta ‘rules and regulations’ masing-masing. 

Toleransi dalam beragama bukanlah bermaksud kita perlu bersifat apologetik dan meraikan semua amalan-amalan ritual agama lain atas dasar ‘Toleransi’. Bukan! Toleransi dalam Islam seperti mana jelas dinyatakan dalam surah Al-Kafirun itu sendiri. Masing-masing dengan agama masing-masing dan kita saling menghormati. Mudah kan?

Tetapi apa yang berlaku sekarang, kebanyakan pendukung fahaman ‘kebebasan’ yang mundur ini menafsirkan agama menggunakan kepala mereka sendiri tanpa bersulamkan nas atau dalil. Keterlaluan dalam menjaga hati sehingga melondehkan prinsip agama sendiri. 

Cultural Diversity’ atau kepelbagaian budaya bukanlah kunci kepada percampuran dalam beragama. Biarkanlah mereka dengan agama mereka, kita menjaga agama kita. Bukannya kita join upacara agama bersama mereka. Aku yakin, kalau kita ajak mereka berupacara Islam, semestinya golongan ‘Modernis Muslim’ ini akan berang. Aku jamin. 

Apa yang dihalang hanyalah kepada orang Islam. Non-muslim tidak ada masalah. Itu hal mereka. Apa yang kita titik beratkan ialah umat Islam. 

Agama Islam bukan hasil perkembangan kebudayaan dan agama kita juga bukanlah agama yang datangnya dari kalam makhluk. Dia merupakan agama Tanzil. Maka, segala apa yang dikatakan olehNya, itulah prinsipnya. 

DZAFIR FIRDAUS AHMAD ZUBAIRY
Pengerusi Siswa PAS – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -