RM116.2 juta diagih agensi ehwal agama sepanjang Mei

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM116.2 juta telah diagihkan oleh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mereka yang memerlukan sepanjang Mei lalu.

Perkara itu dinyatakan Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad yang mengemukakan usaha dan gerak kerja agensi hal ehwal Islam dalam tempoh 1 hingga 31 Mei lalu menerusi catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

“Kita melaksanakan tanggungjawab menyantuni asnaf, fakir miskin, golongan rentan serta institusi-institusi pendidikan khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan bantuan kewangan, makanan, buku teks, peralatan elektronik, bantuan membaik pulih rumah dan sebagainya,” ujarnya.

- Advertisement -

Kata beliau, antaranya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan sejumlah RM110.4 juta wang bagi program Semarak Syawal dan Agihan Pembekalan Barangan kepada asnaf tanpa tunai.

Tambahnya, begitu juga Lembaga Tabung Haji meneruskan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada mangsa banjir di Pantai Timur berjumlah RM300,000 dan program MyHaus berjumlah RM260,000 termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan program-program latihan keusahawan yang dijalankan. 

“Alhamdulillah, inilah antara komitmen kami Pasukan Menteri Agama sentiasa berusaha untuk memastikan para asnaf disantuni seterusnya berjaya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

“Inilah usaha berterusan kita,” ujar beliau lagi.

Beliau menambah, pada masa yang sama, bulan lalu, pihaknya telah berkongsi fikrah pelaksanaan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera kepada dunia Islam.

“Semoga ianya menyerlahkan lagi keindahan Islam menjaga maslahah umat. 

“Doakan kami terus istiqamah atas jalan kebajikan Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/6/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!