MTIB, PPj hasil produk mesra alam

Wood plastic composite alternatif berciri hijau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menjayakan Majlis Penyerahan Perabot Taman Wood Plastic Composite (WPC) dan Pertukaran Nota Kolaborasi bagi Projek Penggalakan Pasaran dan Promosi WPC di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya pada 4 Jun 2022.

Produk WPC adalah produk alternatif kayu bercirikan hijau dan mesra alam. Ia dihasilkan daripada dua (2) bahan utama iaitu gentian semula jadi dan juga plastik. Gentian semula jadi boleh diperolehi daripada sisa pertanian, sisa perindustrian kayu ataupun hutan asli seperti kelapa sawit, serbuk kayu, kenaf, buluh, sekam padi dan lain-lain lagi. Manakala plastik yang biasa digunakan adalah polyethylene, polypropylene, polyvinil chloride (PE,PP,PVC).

Pengunaaan gentian semula jadi bagi penghasilan produk berasaskan kayu dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber hutan asli, sekali gus memastikan pembangunan industri perkayuan negara yang mapan.

Selaras dengan hasrat kerajaan ke arah memartabatkan Teknologi Hijau, aplikasi produk yang bercirikan hijau dan mesra alam bagi pembangunan infrastruktur pelancongan merupakan salah satu inisiatif yang diambil pihak MTIB dan PPj bagi memandu usaha memperkasakan serta menggalakkan orang ramai menggunakan produk hijau sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

Aplikasi penggunaan produk WPC secara konvensional adalah sebagai decking, pagar dan juga bahan binaan. Aplikasi WPC wajar dipelbagaikan lagi kerana keunikannya yang menyerupai kayu semula jadi, mempunyai ketahanan terhadap lembapan dan serangan anai-anai serta hanya memerlukan penyelenggaraan yang minimum. Sebanyak empat (4) set perabot taman daripada WPC telah dibangunkan MTIB bersama beberapa pihak industri iaitu pengusaha perabot bumiputera tempatan, seperti syarikat Meranti Marshal Sdn. Bhd. dan pengedar sah atau pengeluar produk WPC tempatan berjenama BOISDECK daripada syarikat Art Wood Composite Sdn. Bhd. dan Timberdeck Sdn. Bhd.

Perabot tersebut akan ditempatkan di beberapa lokasi sekitar Anjung Floria, Presint 4 Putrajaya untuk kegunaan orang awam selain boleh dijadikan sebagai model dan perintis kepada projek-projek yang berkonsepkan hijau dan mesra alam di masa akan datang.

Sektor perkayuan adalah merupakan antara sektor yang penting dalam ekonomi Malaysia. Ianya merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada sektor agrikomoditi negara selepas industri kelapa sawit dan getah. Jika dilihat dari sumbangan eksport, sektor perkayuan mencatatkan kadar eksport sebanyak RM22.7 bilion pada 2021 dan daripada jumlah tersebut, produk biokomposit seperti fibreboard, particleboard, chipboard dan plywood merekodkan sumbangan nilai eksport sebanyak hampir RM4.2 bilion.

Jumlah syarikat pengusaha produk WPC di negara ini masih kecil iaitu Timberdeck Sdn. Bhd. di Kinta Perak, Perceptive Profile Sdn. Bhd. juga di Batu Gajah Perak, Composite Technology Wood Sdn. Bhd. di Gurun Kedah. Namun, dengan penerokaan lanjut produk biokomposit melalui pengembangan kepada pembangunan produk hiliran bernilai tambah dilihat bertepatan bagi menyokong usahawan WPC tempatan dan menggalakkan pasaran WPC di Malaysia.

Langkah ini dilihat selari dengan strategi penggalakan penggunaan sumber bahan mentah alternatif berteraskan circular economy principal yang digariskan di bawah beberapa polisi dan pelan Tindakan seperti Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 dan National Timber Industry Strategic Policy (NTISP). Hala tuju industri ini secara keseluruhannya adalah berlandaskan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Sustainable Development Goals (SDGs) dalam penekanan terhadap kemampanan industri perkayuan secara keseluruhannya.

MTIB melalui sokongan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus komited dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pra-pengkomersialan khusus untuk industri biokomposit di Malaysia bagi menggalakkan lagi penggunaan produk hijau dan mesra alam seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Kenyataan Bersama:

LEMBAGA PERINDUSTRIAN KAYU MALAYSIA (MTIB)
PERBADANAN PUTRAJAYA (PPj) – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -