PEMUDA PAS mengambil maklum provokasi murahan yang dilakukan 2 tokoh parti Bharatiya Janata Party (BJP) yang telah menghina junjungan besar umat Islam Nabi Muhammad S.A.W.
Tindakan yang dilakukan tokoh BJP bernama Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal ini wajar dikecam oleh seluruh umat Islam rentas negara, kaum dan ideologi politik. Ia adalah manifestasi dasar ekstremis dan politik kebencian yang disemai sekian lama oleh BJP terhadap umat Islam.
Pemuda PAS ingin menyatakan solidariti kami buat umat Islam di India yang semakin hari semakin dihimpit cabaran dan tekanan oleh puak pelampau Hindutva.
Pemuda PAS ingin menegaskan bahawasanya Islam adalah agama dan satu cara hidup yang mengutamakan nilai perdamaian serta amat menekankan kepada umatnya akan nilai hidup kebersamaan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Pemuda PAS menyeru seluruh umat Islam di dunia agar terus istiqamah dalam membela nasib saudara seagama kita yang kian ditekan hanya atas sebab mempertahankan aqidah dan iman yang kita anuti. Sesungguhnya semua umat Islam itu bersaudara.
YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 7/6/2022
Kecam provokasi murahan BJP India terhadap Islam
- Advertisement -