Jangan salahkan jin

- Advertisement -

GEGATA atau urtikaria dalam bahasa perubatan ini adalah satu penyakit kulit yang tidak diketahui punca sebenar. Ianya mungkin alergi makanan, cuaca panas, ubat-ubatan atau jangkitan virus. Tetapi majoriti daripadanya adalah tidak diketahui dengan jelas. 

Gegata ini tidak sama sekali akibat daripada serangan jin. Jangan mempersalahkan jin apabila berlakunya gegata. Kesian jin.

Walaupun majoriti daripada puncanya tidak diketahui tetapi beberapa kemungkinan yang boleh menyebabkan gegata ini:

1) Makanan yang bersumberkan dari laut ataupun seafood.

2) Makanan yang bersumberkan dari daging seperti sosej dan daging proses. 

3) Makanan bersumberkan daripada tenusu seperti keju, yogurt dan susu masam.

4) Ubat-ubatan seperti penahan sakit, aspirin dan ubat darah tinggi tertentu. 

Mekanisma berlakunya gegata ini apabila terdapat alergen atau pencetus, maka akan berlakunya rangsangan sistem pertahanan badan kita. Badan akan bertindak balas untuk mengeluarkan Histamin; di mana Histamin ini adalah salah satu daripada cairan badan yang dikeluarkan untuk menghalang ataupun melawan alergen tadi. 

Akhirnya tindak balas akan berlaku sehingga kulit kita akan menjadi gatal dan bengkak. Jangan panik sebab ianya adalah satu fenomena biasa. Cuma tompokan seperti air garam itu yang menyebabkan kita menjadi gatal dan tidak selesa. Kebanyakan gatal ini akan hilang dalam tempoh 24 jam. Tetapi ada juga kes yang tertentu akan berlanjutan sehingga berminggu. Kadang-kadang ianya berulang bergantung kepada alergen mana yang menyerang kita. 

Jarang-jarang berlaku komplikasi gegata serius seperti serangan sesak nafas, paru-paru berbunyi (wheezing), bengkak melibatkan rongga mulut dan hampir pitam (dizziness). Apabila berlaku gejala sedemikian sila dapatkan rawatan kecemasan dengan segera.

Gegata ini boleh dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan seperti Antihistamin yang boleh didapati di klinik-klinik Kesihatan ataupun di premis-premis farmasi. Jika ianya berlanjutan dinamakan kronik gegata. Di sini, pesakit memerlukan rawatan lanjut dari pakar kulit supaya dapat menilai risiko serta mencari apakah punca-punca yang sebenar yang kita boleh menyebabkan berlaku gegata tersebut. Semoga pesanan ringkas ini menambahkan ilmu anda.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 7/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -