Tokoh Istiqamah PAS Kelantan kembali ke rahmatullah

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
PAS Kelantan kehilangan seorang tokoh istiqamah yang banyak berjasa apabila Ibrahim Isa, 91, meninggal dunia malam semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat sakit tua.

Tokoh Istiqamah PAS pertama kembali ke rahmatullah jam 10.48 juga merupakan Bendahari PAS Kubang Kerian.

Setiausaha PAS Kubang Kerian, Mohd Nuri Mat Yaakub berkata, pemergian Ibrahim dianggap satu kehilangan besar bagi PAS Kelantan dan Kubang Kerian.

- Advertisement -

“Almarhum merupakan salah seorang tokoh Assabiqun PAS Kelantan yang menyaksikan sendiri bagaimana PAS Kelantan mengambil alih pemerintahan negeri pada tahun Oktober 1990.

“Dan kita di Kubang Kerian turut mengalami kehilangan besar dengan pemergiannya kerana arwah sudah berkhidmat bersama PAS kawasan yang sebelum ini dikenali Nilam Puri,” katanya di sini.

Solat jenazah semalam diimamkan Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob. Hadir sama pimpinan kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat.

Mohd Nuri berkata, arwah yang juga bekas pendidik terlibat dengan politik sejak 1959 sebagai Setiausaha Chabang Tiga Pendek.

Malah katanya, arwah pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor 1986 melawan Datin Zaleha Hussin mewakili Umno dan hanya kekurangan majoriti 933 undi.

Beliau juga pernah menerima pelawaan bertanding dalam pilihan raya di Dun Salor pada 1999, namun tawaran itu ditolak menyebabkan PAS Kelantan memilih menantunya Buni Amin Hamzah.

“Selama dua penggal iaitu 1999 dan 2004 Buni Amin mewakili Dun Salor sebelum digantikan Dato’ Husam Musa yang bertanding di Dun berkenaan sebagai mewakili PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2022

- Advertisement -