Anak ganti ayah dalam politik, salahkah?

- Advertisement -

SEWAKTU aku berziarah dalam Syawal baru-baru ini, aku telah diusik oleh seseorang berkenaan politik. Dia, yang sudah diketahui katanya tidak berparti, selalu melihat orang lain tidak kena itu dan ini, dengan sengaja mengungkit isu politik. Usikan itu hanya sekadar menghangatkan suasana, tidak pernah dipendam dalam hati, tetap menziarahi saban tahun sebagai ikatan persaudaraan. Bukan semua orang aku akan melayan hal politik, apa lagi pada hari raya. Tetapi dengan dia, memang aku layan, semenjak bertahun-tahun dulu. Sengaja.

Kebetulan dia tinggal di DUN Batu Buruk. Kena pula topik yang dia keluarkan antaranya ialah orang politik ini sama sahaja. Lepas ayah, diturunkan pula legasi kepada anak. Faham sangatlah aku sebab YB Ustaz Muhammad Khalil Tan Sri Abdul Hadi ialah ADUN di situ. Mahu disindir ayah, maka dipukul si anak. Tetapi bila aku tanya kembali, apa salah anak ganti ayah, jika sememangnya layak dan telah dipersetujui oleh yang lain.

Katanya persetujuan itu disebabkan kerana kekuasaan ayahnya, jadi bukan kerana merit yang dia ada. Sayang sekali kerana waktu tu, Ustaz Khalil belum menghabiskan viva bagi memenuhi syarat mendapat gelaran Doktor Falsafah. Tetapi aku tahu yang Ustaz Khalil sudah mempunyai ijazah Master. Dia yang aku ziarahi itu adalah seorang yang agak terikat dengan sijil-sijil pelajaran. Semua anak-anaknya mempunyai ijazah. Aku rasa tentu dia terkejut sekarang mendengar PhD Ustaz Khalil yang baharu diperolehi itu. ‘Demo dok kenal barey’.

Kita tahu, dalam diri manusia ini akan ada genetik yang diturunkan oleh ibu bapa mereka. Melalui genetik akan ada anak-anak kita yang menuruti perangai, bijak, gila mahupun penyakit kita. Gila, sakit jantung dan kencing manis adalah antara penyakit keturunan yang biasanya akan kena kepada anak. Tetapi tidak kurang juga ada anak-anak yang tidak menuruti genetik ini. Malah jika diajar kemahiran sekalipun, mereka masih tidak mahu atau mampu melakukannya.

Dan sebagai ibu bapa pula, mereka pastinya ingin melihat anak-anak mereka berjaya dan mengikuti kejayaan mereka dalam apa-apa bidang yang mereka ungguli sekarang ini. Jadi pada bayangan mereka, anak-anak akan menjadi pengganti mereka. Samalah yang terjadi kepada dia yang aku ziarahi ini, semua anak-anaknya, dibuat acuan olehnya. Maka menjadilah sebagaimana yang dia mahukan. Tetapi tidak mengapa pula baginya begitu, hanya tidak boleh orang politik mengambil anak mereka sebagai ganti memimpin parti.

Lihat pemimpin dunia. Kalau yang bukan-Islam, Ghengis Khan sehingga turun kepada cucunya Hulagu Khan, semuanya menjadi keturunan penakluk dan pembunuh. Dalam Islam pula, berapa keturunan Muhammad Al-Fateh menjadi pemerintah Konstantinopel. Kerajaan Umayyah, Abasiyyah juga sama. Semua orang melihat bahawa, keturunan mereka yang menggantikan leluhur empayar itu. Sebut empayar kerajaan, memanglah politik. Dan ramai yang berjaya. Adakah pemerintah ini mahu menyerahkan singgahsananya kepada bukan darah dagingnya?

Baru-baru ini, aku menerima berita berkenaan kehadiran YB Ustaz Khalil ke Turki mewakili PAS atas jemputan NGO Palestin dalam Persidangan Antarabangsa menyelamatkan Al-Quds kepada parti-parti Islam dari seluruh dunia. Dan satu lagi majlis memperingati pembukaan Konstantinopel anjuran gerakan Islam Turki, Milligurusyh. Bukan itu sahaja, malah beliau dijemput naik ke pentas utama bersama para pembesar gerakan Islam dunia.

- Advertisement -

Ini adalah satu penghormatan terhadap PAS. Ia adalah kerana PAS istiqamah dalam memperjuangkan Islam. Kira-kira 70 tahun sudah bergelumang dalam pentas politik. Ditambah lagi dengan keyakinan dunia Islam terhadap kepimpinan ayahanda beliau, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang begitu hebat selama puluhan tahun bukan sahaja dalam PAS, tetapi di seluruh dunia, menyatukan umat Islam.

Jadi amat sesuailah YB Ustaz Khalil diketengahkan sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa bagi menjalankan misi untuk mendekatkan jemaah-jemaah Islam. Sebagaimana cerita beliau kepada aku, satu titik mendekatkan Parti Saadat dan AKP, dua parti yang panjang perbalahannya, sebagaimana yang pernah Tuan Guru Presiden ceritakan, berjam-jam beliau dileteri oleh Erbakan hanya kerana mahu Saadat berdamai dengan AKP. Dan kini ia dilihat ada sinarnya dengan keduanya bersetuju dengan agenda D-8.

‘Malu mata’ kepada ayah juga adalah salah satu cara bagi menarik perhatian. Jadi kita akan gunakan apa sahaja kelebihan bagi mencapai matlamat yang mulia, menghapuskan jurang sesama jemaah Islam di dunia. Sama seperti orang mengahwinkan anak mereka dengan orang-orang yang soleh misalnya. Ia adalah bagi mendapatkan kebaikan, menumpang ilmu, keberkatan dan ia langsung tidak menyalahi sebarang undang-undang.

Oleh itu, tiada masalah dengan anak menggantikan ayah dalam jawatan politik, apa lagi jika anaknya sememangnya layak kerana kelulusan selain genetiknya. Yang jadi masalah ialah jika tidak berkemampuan dan memaksa orang menerimanya, sebagaimana kronisme yang berlaku di Sri Lanka. InsyaAllah, penolakan secara emosional seperti ini, mudah dipatahkan kerana dia tidak tahu nilai kekuatan seseorang yang dia bangkang itu. Kata orang tua-tua, tak kenal, maka tak cinta. Tapi kalau sudah kenal baik dan sesuai orangnya, masih lagi bangkang, jelas ada masalah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 6/6/2022

- Advertisement -