Tular, lepas tu salah, nak buat apa?

- Advertisement -

MENULARKAN sesuatu perkara sebenarnya menjadi tabiat kebanyakan orang. Maksud tular di sini ialah menghebahkan sesuatu berita kepada orang lain. Jangankan hal yang bukan rahsia, malah hal rahsia juga dibocorkan orang atas maksud yang penular itu sendiri tahu. Maka benarlah kata orang, dua perkara yang sangat susah untuk manusia simpan. Duit dan rahsia.

Perkara yang baik seperti pernikahan, adalah bagus untuk ditularkan, bahkan digalakkan. Tetapi mungkin tidak bagus bagi pengantin jika ia adalah pernikahan kedua, ketiga atau keempat yang tidak diketahui oleh isteri (-isterinya) yang diyakini akan dimarahi oleh mereka atau bakal terjadi penderaan terhadap si suami itu.

Sistem penularan ini wujud semenjak zaman dahulu lagi. Tak percaya? Jika tidak, manakan kita dapat cerita-cerita rakyat berkenaan Pak Pandir, Ali Baba dan sebagainya. Juga cerita-cerita yang menjadi tiang kepada agama iaitu hadis Rasulullah S.A.W. Cuma caranya mungkin berbeza. Kalau kaum ibu pula, sistem penularannya masih kelihatan sama, iaitu berkumpul.

Pernah terjadi pada hari penamaan calon PRU12 di hadapan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu. Satu berita diterima, semua kerusi di Marang telah dimenangi oleh PAS 5-0 kerana kesilapan BN. Oleh kerana Marang ditandingi oleh Presiden, maka yang mendapat berita itu merasa amat gembira.

Lalu salah seorang yang memegang speaker mengumumkan ‘kemenangan’ itu di hadapan ribuan penyokong PAS. Sebenarnya dia sudah dinasihatkan agar tidak mengumumkan berita itu, tunggu dahulu pengumuman rasmi. Tetapi mungkin kerana terlalu gembira, beliau tetap melakukannya. Tetapi kemudian, keseluruhan kerusi di Marang tetap dipertandingkan. Maka diamlah si pengumum itu. ‘Ppetok’ muka kata orang Terengganu.

Aku pernah menerima berita mengenai JKKK Umno di sebuah kampung, menolak untuk menerima mayat orang PAS dari dikebumikan di dalam salah satu tanah perkuburan di situ. Isunya menjadi tular, Umno tidak benarkan mayat orang PAS ditanam. Aku segera bertemu dengan anak si mati untuk mendapatkan maklumat terperinci. Maklumlah, kezaliman Umno begini, tidak dapat diterima.

Apabila bertemu dan bertanyakan semua perkara, nyata JKKK Umno itu benar kerana tanah kubur itu hanya untuk wakaf orang kariah di situ sahaja, sedangkan ibunya bukan kariah di situ. Anaknya juga maklum dengan peraturan itu. Maka aku meletakkan jari jemari aku daripada menularkan berita ini, kerana tiada isu.

Tidak kurang juga orang yang mendakwa menyokong PAS yang mengamuk kerana perniagaan mereka disaman, rupanya tidak mengikut undang-undang. Kemudian mereka meminta supaya pimpinan PAS membantu atau mengeluarkan mereka dari kesalahan itu. Jika tidak dilayan, akan tular pula yang mereka penyokong PAS, tetapi pimpinan tidak membantu. Begitulah.

Menularkan sesuatu perkara amat mudah, apalagi jika berkaitan dengan pihak yang kita benci. Benci mungkin kerana musuh lama, dendam atau tiba-tiba kita jadi benci kawan kita sebab ada orang menghasut kita untuk membenci. Lantas kita terus menjadi benci, tanpa sebarang penyiasatan, hanya kerana orang menabur cerita kebencian. Benci sungguh dan kita pula yang lebih bencinya daripada orang yang bercerita itu.

Banyak isu yang tular, akhirnya hambar kerana separuh masak atau benar. Manusia yang menularkan itu, jika berniat serong, akan pasti menambah perisanya kerana mahukan dia disokong. Ada udang di sebalik mi. Ada sesuatu yang dia inginkan, maka dia tularkan kerana hajatnya belum kesampaian. Ada juga yang jenis tamak, sudah dapat, tapi mahu lagi. Nafsu yang tiada penghujung.

Maka bila tular sesuatu isu, biasanya, ia sekadar mahu memalukan satu pihak. Kemudian setelah ditunjukkan segala bukti, tidak tahu pula mereka untuk memperbetulkannya. Dosa hanya jika berlaku salah laku oleh pihak yang dia benci. Manakala dosa fitnah, dilupus kira oleh malaikat kalau dia yang tularkan pembohongan.

Secara khususnya aku mahu memberitahu, jika ada menerima berita berkenaan kejahatan Kerajaan PAS, maka mohon disiasat, disiasat dan disiasat sedalam-dalamnya kerana sudah banyak bukti berlaku penipuan dalam info atau salah faham dalam maklumat. Aku tidak katakan yang Kerajaan PAS ini tidak ada kesalahan, tetapi sengaja melakukan penganiayaan terhadap rakyat adalah satu hal yang sangat-sangat tidak boleh diterima.

Ini kerana PAS berhasrat untuk memerintah Malaysia dengan menjalankan sistem menurut acuan Islam, tetapi tiba-tiba memberi contoh buruk dan jahat, lojik ke? Langsung tidak masuk akal, kecuali cerita itu direka orang bagi menjatuhkan PAS itu sahaja.

MOHD NASIR ABDULLAH 
4 Jun 2022 – HARAKAHDAILY 5/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -