Jawab sahaja ‘ya, kami boleh menang’

- Advertisement -

MERUJUK kepada laporan berita bertajuk ‘Sanusi jangan selesa jadi MB Kedah pintu belakang’ seperti yang disiarkan sebuah portal berita pada 3 Jun 2022. 

Agak melucukan apabila seorang pemimpin pemuda salah sebuah parti dari Alor Setar mengaitkan sentimen ‘selesa’ apabila memberi respon terhadap jawapan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi kepada soalan wartawan mengenai desakan sesetengah pihak yang mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera. 

Berdasarkan video yang disiarkan portal itu, jelas sekali YAB Dato’ Seri menjawab soalan wartawan tersebut dengan pertanyaan, “boleh menangkah?”

Jika beliau yakin partinya boleh menang, maka jawab sahaja, “ya, kami boleh menang”. Jawapannya mudah sahaja. Tak perlu melencong jauh nak kaitkan dengan kondisi ‘selesa’. 

Melainkan jika beliau sendiri tidak yakin partinya boleh menang jika PRU15 diadakan dalam masa yang terdekat, munasabahlah beliau bagi jawapan yang melencong begitu. 

Umum mengetahui bahawa YAB Perdana Menteri daripada partinya sendiri berpendirian bahawa dalam waktu kesempitan ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan inflasi, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk diadakan PRU15. 

Semua pihak sama ada kerajaan, pembangkang, atau rakyat, perlu menumpukan usaha memulihkan ekonomi dan melipatgandakan usaha bagi memenuhi keperluan rakyat. Bukannya berhempas pulas menyelamatkan kepentingan individu tertentu. Politik individualistik ini sudah lapuk dan menyebabkan rakyat meluat. 

Atas prinsip mengutamakan rakyat inilah maka Kerajaan Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu berpendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan tergesa-gesa sebelum cukup tempoh matang.

Andai beliau masih hendak berhujah menggunakan naratif ‘selesa’ dan ‘pintu belakang’, beliau nak tujukan kepada siapa sebenarnya? Nak tuju kepada YAB Perdana Menteri atau Menteri Besar Perak atau siapa?

AFNAN HAMIMI– HARAKAHDAILY 5/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -