Air hitam: JAS Selangor siasat aduan viral

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengajukan aduan yang dilaporkan oleh Fb page Oh! Media, dua hari lalu kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Alhamdulillah, pihak JAS Selangor telah turun ke lokasi dan membuat siasatan pada 2 Jun sekitar pukul 1 petang,” ujarnya menerusi laman sosial beliau, hari ini, mengenai kemas kini aduan tular air hitam.

- Advertisement -

Menurutnya, lokasi siasatan adalah di kawasan Pulau Indah Industrial Park (Phase 3).

Tambahnya, lokasi merupakan kolam takungan seluas 900 meter dan telah dijadikan tempat pembuangan sampah haram.

“Kolam takungan ini adalah receptor saliran longkang hujan dari kawasan perindustrian Pulau Indah Fasa 3 dan dikawal oleh pintu kunci air utama sebelum memasuki muara Sungai Chandong,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Menurut beliau lagi, JAS Selangor telah merujuk kes ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang untuk tindakan susulan di bawah bidang kuasa masing-masing. – HARAKAHDAILY 4/6/2022