Ketua Pemuda PAS, Umno, Amanah hangat ‘Forum Rakyat’

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Wacana yang pernah menjadi gelanggang rakyat Kelantan bagi mengikuti perkembangan isu semasa di negeri itu dan negara sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lepas kini kembali semula.

Medan yang pernah hangat sebelum ini dikembalikan semula dengan dianjurkan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) pada 16 Jun ini.

Kali ini UPKN mempersembahkan ‘Forum Rakyat Siri 1’ bertajuk ‘Masa Depan Kelantan : Anak Muda’ yang bakal menampil tiga pimpinan pemuda di Kelantan iaitu dari PAS, Umno dan Amanah.

- Advertisement -

Pengarah UPKN Ahmad Fathan Mahmood berkata, program tersebut akan diadakan di Dewan Besar Balai Islam Lundang bertujuan mewujudkan wadah untuk menghimpunkan pimpinan parti politik bagi menyatakan pandangan berkaitan isu membabitkan Kelantan.

“Ketiga-tiga kepimpinan pemuda berkenaan sudah menyatakan hasrat menghadiri forum tersebut iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed, Ketua Pemuda Umno Noor Hariri Mohd Noor dan Ketua Pemuda Amanah Hazmin Hassan.

“Untuk siri pertama akan dipengerusikan Dr Mohd Tawfik Yaakob pensyarah Universiti Malaya (UM). Forum tersebut dijangka boleh memberi input yang menarik kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya juga forum tersebut terbuka kepada semua rakyat tidak kira umur, agama dan ideologi politik.

Ahmad Fathan yang juga Adun Chempaka berkata, rakyat boleh terlibat secara langsung pada program tersebut untuk bertanya kepada pimpinan parti politik dan ahli akademik berkaitan isu di Kelantan dan negara.

“UPKN akan bertindak sebagai medium percambahan idea dan perkongsian maklumat dari semua parti secara telus,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2022

- Advertisement -