‘Cukuplah terperangkap dalam kepompong pergaduhan’

- Advertisement -

BANGI: Kesemua agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu menjadi ejen penyatuan ummah, kata Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad.

“Di mana-mana pun kita berucap, kita laksanakan agenda ini. Di kementerian, jabatan, masjid, surau, bawalah agenda ini ke mana-mana. Oleh kerana itu, saya mahu TV Alhijrah dan Radio IKIM sentiasa membawa mesej ini kepada rakyat.

“Asas penyatuan kita adalah Islam dan iman. Cukup-cukuplah kita terperangkap dalam kepompong pergaduhan yang tiada kesudahan. Ia merugikan,” katanya ketika merasmikan Program Training of Trainers (TOT) Pasukan Jurucakap Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera Peringkat Agensi YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) di sini, malam tadi.

- Advertisement -

Menurutnya, musuh-musuh Islam sentiasa menanti masa mengambil kesempatan atas kekhilafan umat Islam.

Maka, katanya itulah tugas dan tanggungjawab jurucakap iaitu para peserta untuk menyampaikan dakwah kepada ummah.

Beliau juga menyatakan bahawa kerangka gagasan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera bukan kerangka baru.

Katanya lagi, kerangka ini telah sedia ada dalam al-Quran dan sunnah.

“Tetapi kita mencungkil dan menggunakan konsep yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri supaya ia mudah diterima oleh masyarakat.

“Ini tidak bermakna kita mengadun ayat al-Quran dan hadis mengikut fahaman sempit kita. Sebaliknya, kita menyediakan acuan terbaik bagi konsep Keluarga Malaysia agar ia tidak dimanipulasi mengikut kepentingan yang bertentangan dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Baginya, gagasan Keluarga Malaysia merupakan wadah yang perlu digunakan semaksimum mungkin sementara dasar dan polisi perlu dibangunkan untuk memenuhi keperluan semasa.

Tambahnya, dasar dan polisi itu perlu dipastikan agar ia selari dengan tuntutan Islam demi mencapai maqasid syariah.

Oleh yang demikian, ujar beliau selama mana para peserta menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam, selama itulah usaha untuk meninggikan syiar Islam perlu dilaksanakan.

Idris turut menegaskan bahawa agenda utama menyuburkan Islam di Malaysia bukan agenda politik.

“Ini merupakan agenda Islam untuk kita martabatkannya demi mendapat keredaan Allah SWT. Objektif yang lebih besar daripada itu ialah untuk melaksanakan perintah Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2022