Sekuriti makanan negara belum lagi kukuh

Foto hiasan.

SEKURITI makanan bukan perkara yang sering dibincangkan dalam perbualan harian, namun dengan berlaku situasi rakyat berdepan kekurangan bahan makanan seperti kekurangan minyak, tepung dan ayam baru-baru ini, ia menjadi lebih mudah difahami. Wartawan Harakah, SYAHIRAH SALLEH menemubual Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan Akademi Profesor Malaysia, Prof Emeritus Chamhuri Siwar untuk mengulas berhubung perkara itu.

Advertisement

Harakah:  Dengan situasi kekurangan tepung kini dan bekalan ayam sebelum ini, adakah Malaysia sebenarnya mempunyai sekuriti makanan yang kukuh?

Prof Emeritus Chamhuri Siwar: Sekuriti makanan merupakan satu konsep di mana Malaysia mampu untuk menyediakan makanan kepada penduduknya setiap masa dan pada harga yang berpatutan.

Jadi kalau kita lihat, ukuran bagi sekuriti makanan yang selalu digunakan ialah kecukupan diri, self-sufficient level (SSL). Jadi bagi kebanyakan makanan, kita belum sampai 100 peratus lagi.

Misalnya beras hanya 70 peratus, daging lebih bawah (25 peratus), begitu juga makanan-makanan lain itu, ada yang 90 peratus, ada yang 100 peratus yang kita eksport. Kebanyakan makanan-makanan seperti sayur-sayuran dan sebagainya.

Tetapi kalau kita lihat, pada masa sama kita merupakan negara pengimport bahan makanan, jadi dari segi itu kita, bil import makanan kita meningkat setiap tahun.

Pada 2020, nilai import makanan Malaysia ialah RM55.4 bilion, berbanding RM45.3 bilion pada 2015 dengan jumlah import makanan negara meningkat pada kadar purata 4.1 peratus setahun.

Jadi, ini petunjuk yang menunjukkan bahawa kita tidak lagi kukuh dari segi sekuriti bahan makanan.

Pertama, kita punya SSL itu bagi kebanyakan bahan makanan adalah di bawah 100 peratus, masih rendah lagi dan kita banyak masih mengimport sebahagian besar daripada bahan makanan kita, jadi dua petunjuk ini menunjukkan bahawa kita masih lagi belum kukuh dari segi sekuriti bahan makanan.

Beliau juga ditanya tentang aspek yang perlu dibaiki untuk mengatasi masalah itu, adakah meningkatkan teknologi pertanian sesuai untuk diimplementasikan di negara ini dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

Ikuti wawancara penuh dalam akhbar HARAKAH Edisi Jumaat di pasaran.