Negeri diterajui PAS habis penggal ke-14 sehingga 2023

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

POKOK SENA:
Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajui PAS akan meneruskan pentadbiran sehingga akhir penggal ke-14 pada Julai tahun hadapan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berpendirian serupa turut diambil Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir di bawah Pakatan Harapan.

“Tidak perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal, sebaiknya tunggu sehingga tamat penggal ke-14 penghujung Julai 2023.

“Tidak perlu spekulasi atau mencetuskan ketegangan mendesak PRU. Perlu habis penggal sehingga penghujung penggal ke-14,” kata beliau pada sidang media di Pokok Sena hari ini.

- Advertisement -

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan PRU tidak akan diadakan ketika negara menghadapi inflasi ekoran kenaikan harga barang keperluan harian.

Malah pandangan itu senada dengan pendapat Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebelum ini.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, adalah lebih baik tempoh yang berbaki sekarang diisi dengan menyelesaikan masalah rakyat, ditambah pula keadaan cuaca tak menentu serta kesan peperangan negara luar sekarang.

“Menyalah atau mendakwa orang ini salah, orang itu salah tidak mendatangkan faedah kepada negara,” tambahnya.

Menurutnya jangan kerana disebabkan dua tiga orang mencari pasal dengan mendesak pilihan raya diadakan segera, habis satu negara menanggungnya.

“Saya pun hairan kenapa dok pulun nak pilihan raya sangat. Boleh menangkah? Takut kalah teruk lagi ja. Baik tunggu sampai cukup penggal. Sekarang buat kerja masing-masing,” kata beliau lagi.

- Advertisement -