Menteri Agama, Muslim Care bincang usaha bersama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perjuangan Muslim Care Malaysia Society adalah kebajikan dan memperkukuhkan ummah di seluruh dunia.

Menurutnya, satu persatu usaha yang sangat besar dilaksanakan oleh Muslim Care sebagai sebuah nama besar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai cawangan bukan hanya di dalam bahkan di luar negara.

Beliau menyatakan demikian menerusi laman sosialnya petang tadi susulan pertemuan dengan NGO itu, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, pertemuan itu diketuai oleh Zulkifli Wahijan bersama ahli jawatankuasanya.

“Inilah kumpulan yang di dalam kepala mereka adalah berkenaan kebajikan dan kekuatan memperkukuhkan ummah di seluruh dunia,” katanya.

Beliau menambah, daripada perjuangan kebajikan di Palestin serta beberapa negara Timur Tengah, sehinggalah negara maju seperti Jepun, pelbagai usaha besar untuk umat Islam yang telah dilaksanakan.

Ini, ujarnya seperti pembinaan masjid, sekolah dan pusat-pusat kebajikan bagi menampung keperluan untuk umat Islam dan golongan yang memerlukan.

Tambahnya, pertemuan yang diadakan itu bagi membincangkan beberapa usaha bersama yang boleh dilaksanakan secara jangka masa pendek dan panjang.

“Saya doakan semua pasukan Muslim Care terus berkembang dan mampu membantu menguatkan kekuatan ummah bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Terima kasih kerana hadir dalam pertemuan petang ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -