Maklumat bocor dimanipulasi untuk agenda politik

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah tidak menolak kemungkinan terdapat maklumat kerajaan negeri sengaja dibocorkan kepada pihak tertentu, namun ianya diberi tafsiran secara tidak tepat.

Memetik laporan sebuah portal berita, beliau yang juga ADUN Panchor menyatakan bahawa maklumat sulit tersebut dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi dan siasatan dijalankan atas kebocoran tersebut.

“Kemungkinan ada kalangan kita yang membocorkan maklumat tersebut. Cuma sekarang ini kita tak ada bukti, kita belum ada bukti. Kalau ada bukti kita akan ambil tindakan. Ada tindakan (kepada pihak berkuasa),” ujarnya.

Beliau menjawab pertanyaan media berhubung isu tersebut selepas menyempurnakan perasmian Stesen Mek Awey Panchor di Medan Selera Telok Puteri Padang Tembak, di sini petang semalam.

Portal berita itu dalam siarannya memetik Mohd Amar menjelaskan terdapat manipulasi terhadap maklumat sulit dibawa keluar sama ada daripada pejabat kerajaan negeri mahupun dari anak syarikat itu.

“Kita sedar tentang maklumat-maklumat itu. Dan sebahagian daripada maklumat ini diberikan tafsiran yang tidak tepat. Itu yang jadi masalahnya,” ujarnya melontar peringatan halus terhadap pelaku atau dalang tersebut.

Kerajaan Negeri Kelantan juga dilaporkan menjalankan siasatan dalaman kebocoran maklumat sulit tersebut kepada individu tertentu yang dilihat lebih kepada tujuan politik.

Baru-baru ini tular seorang individu pemimpin parti politik pembangkang ghairah muncul di media sosial mendedahkan butiran dan dokumen tertentu menuduh berkaitan pembalakan dan bekalan air.

Bagaimanapun sehingga kini individu tersebut belum pernah tampil mengajukan laporan rasmi kepada pihak berkuasa bagi menyiasat dakwaan beliau. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -