Kes jangkitan HFMD di Kelantan catat penurunan

Datuk Dr Zaini Hussin
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan mencatat penurunan bagi tempoh Minggu Epidemiologi (ME) ke-21 iaitu 1,179 kes berbanding ME ke-20 sebanyak 1,233 kes.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, jumlah terbabit dicatatkan sepanjang tempoh ME 21 iaitu bagi tempoh antara 22 hingga 28 Mei lalu yang menjadikan kumulatif sebanyak 4,905 kes tahun ini.

Sepanjang tempoh itu juga katanya, kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar serta tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

- Advertisement -

“Kota Bharu merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 429 kes, diikuti Gua Musang (130 kes), Pasir Mas (108 kes), Tumpat (97 kes).

“Selain itu, Machang (87 kes), Kuala Krai (86 kes), Pasir Puteh (82 kes), Tanah Merah (75 kes), Bachok (65 kes) dan Jeli (20 kes),” katanya pada kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata sebahagian besar wabak yang dilaporkan membabitkan Taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Katanya, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan tahun ini, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 69.4 peratus.

Katanya, secara keseluruhan 91.4 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah, diikuti 7.5 peratus bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

“Remaja berusia 13 hingga 17 tahun juga turut dijangkiti HFMD iaitu sebanyak 0.5 peratus dan golongan berusia 18 tahun ke atas pula sebanyak 0.7 peratus.

“Kesemua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar serta tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berhati-hati iaitu sentiasa menjaga kebersihan bagi membendung penularan kes HFMD di Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -