Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
MASIH bersedih dengan berita pemergian bekas perejam (killer-apit kanan) legenda pasukan sepaktakraw negara, Allahyarham Rehan Mohamad Din beberapa hari lalu, (al-Fatihah).
Rehan satu nama besar dalam sukan sepak takraw negara malah almarhum berada pada kelas tersendiri di zaman kegemilangan sepaktakraw negara.
Ketika itu pasukan sepak takraw negara beberapa kali merangkul kejuaraan khasnya di peringkat grand prix dunia dan beberapa kali berjaya menewaskan musuh tradisi iaitu Thailand. Di era itu jua, Malaysia antara pasukan paling sukar untuk ditewaskan, malah di pentas Sukan SEA, Sukan Asia Malaysia adalah ‘raja’ yang bergilir kemenangan bersama Thailand. Indonesia dan Myanmar tidak pernah berjaya mengatasi dua pasukan elit ini.
Rehan dan pasukan menyumbang dua pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia Beijing pada tahun 1990 di mana Rehan bergandingan dengan Nordin Sabarudin (tekong) dan Abd. Malik Samsudin (apit kiri pengumpan) menewaskan Thailand 2-1 dan 2-0 di Gimnasium Fengtai pada perlawanan penentuan emas.
Membarisi pasukan elit negara ketika itu adalah, Ahmad Jais Baharun, Shaari Hashim, Rosli Ab. Rahman, Noor Rani Adnan, Raziman Hassan, Ku Halim Ku Musa, Mohd. Noor Abdullah, Baharum Jahar dan Suhaimi Yusof.
Raja libas negara selepas Adnan Saidin itu turut pernah ‘mengalungkan’ negara dua pingat emas kedua-dua acara sepak takraw itu dalam Sukan SEA Manila 1991 sekali lagi dengan Nordin dan Malik.
Rehan pernah bergandingan dengan Azman Ismail dan Malik dalam skuad negara yang merampas Piala Raja Thailand daripada musuh tradisi Thailand pada 1988 selain memenangi pingat emas antara regu Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan Pesta Sukan Merdeka Brunei 1990.
Beliau menyarung jersi negara dari 1987 hingga 1992 yang era itu menyaksikan persaingan hebat dengan perejam lain negara seperti Shaari, Raziman, Baharum Jahar, Iskandar Arshad dan Zabidi Sharif.
Namun mutakhir ini, kehebatan pemain-pemain handalan seperti Rehan, Zabidi, Raziman Hassan dan Adnan Saidin tidak kelihatan dalam barisan pemain muda negara. Hanya yang nampak menonjol nama seperti Azlan Ismail dan Khairul Zaman Hamid Akbar sahaja selepas mereka berjaya menewaskan Thailand pada perlawanan akhir Istaf Super Series di Melaka beberapa tahun lalu.
Itu kali terakhir Malaysia berjaya di pentas besar sebelum sukan SEA di Indonesia bilamana regu yang sama berjaya menewaskan Indonesia di perlawanan akhir yang penuh kontroversi. Tetapi team ini tidak disenaraikan semasa Sukan SEA di Hanoi bulan lepas.
Hanya kilauan pingat perak mengakhiri saingan sukan SEA di Hanoi bagi pasukan sepak takraw lelaki negara dalam kesemua acara yang disertai. Walaupun pasukan dibarisi ‘jentera’ muda seperti Afifudin Razali, Aidil Aiman, Noraizat Nordin dan beberapa yang lain, tenaga muda ini tidak mampu menewaskan Thailand dan Indonesia, hatta pasukan lawan tidak terlalu konsisten persembahannya.
Di mana kekurangan dan kesilapannya? Apakah lawan terlalu ampuh pertahanan dan serangan serta rejaman? Atau sebenarnya pasukan muda negara masih tercari-cari ‘rhythm’ semasa perlawanan? Jika diimbas semasa saingan dalam negara iaitu Sepaktakraw League (STL) berlangsung, pemain yang membarisi skuad muda negara ini memperlihatkan prestasi yang amat membanggakan, malah nadi pembunuh jelas kelihatan.
Lihat sahaja bagaimana Afifudin dan Noraizat Nordin yang bisa ‘psycho’ lawan dengan ketajaman libasan serta ‘blocking’ yang ampuh membuatkan ‘kecewa’ lawan berpanjangan. Malah kestabilan hantaran lambung Aidil Aiman jelas kelihatan dalam merancang serangan.
Namun di pentas Sukan SEA ketajaman dan kemeriahan permainan mereka ini kurang kelihatan, malah sering kali diperkotak-katikkan lawan dengan serangan balas serta ‘psycho’ yang menyebabkan rentak permainan negara musnah, kucar-kacir.
Penulis tidak mahu menuding jari sepenuhnya kepada pemain, namun pelbagai aspek psikologi semasa menentang lawan di pentas dunia seharusnya dititikberatkan oleh pihak pengurusan sepak takraw negara, apatah lagi pemain muda ini sebenarnya berbakat dan memiliki skil yang baik.
Untuk mencari seorang perejam yang memiliki nadi pembunuh seperti Rehan, Raziman dan Adnan Saidin bukan mudah, namun tidak mustahil membina jiwa pemain muda ini dengan pelbagai ilmu dalam gelanggang mahupun luar gelanggang ketika berdepan pasukan lawan dan tekanan semasa perlawanan.
Benar barisan pemain Thailand dan Indonesia ketika ini amat baik sekali, namun sebenarnya kehebatan pemain negara tidak kurang, cuma aspek psikologi semasa menentang lawan dan kepelbagaian serangan perlu diperkasakan selain taktik yang lebih ampuh membaca permainan lawan perlu diperkuatkan.
Penulis sememangnya memerhati sukan sepak takraw ini kerana minat yang amat mendalam sejak di bangku sekolah lagi dan pernah mewakili sekolah, daerah dan negeri selain bermain untuk saingan di peringkat sukan universiti semasa belajar di kampus Universiti Malaya.
Mata tidak akan terlepas bagi menonton perlawanan sepak takraw membabitkan pasukan negara, dan STL selain kejohanan pelbagai kerana minat mendalam, walaupun kesihatan tidak mengizinkan untuk penulis bermain lagi.
Apapun kritikan ke atas pasukan negara bukan bermakna penulis ‘tidak patriotik’ namun ia kritikan ikhlas demi melihat sukan sepak takraw negara kembali ke zaman kegemilangan seperti era Almarhum Rehan Mohamad Din, Raiziman Hassan dan Adnan Saidin. Go Malaysia! Go…! Anda pasti boleh…! – HARAKAHDAILY 1/6/2022