Oleh ZULHAIDI MANSOR
KUALA LUMPUR: Orang ramai menyokong penuh langkah kerajaan yang akan membentangkan akta baharu kawalan tembakau dan merokok di Parlimen pada Julai ini.
Ia adalah susulan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi semalam yang mengumumkan draf akta baharu yang bakal diperkenalkan khusus buat generasi muda yang lahir selepas tahun 2005 itu sudah dibawa ke Pejabat Peguam Negara untuk kelulusan sebelum rang undang-undang berkenaan di bentangkan ke Parlimen.
Rata-rata orang awam yang ditemui HarakahDaily menyuarakan sokongan padu terhadap langkah kerajaan dan berkongsi pandangan serta kesan buruk akibat daripada aktiviti merokok yang sememangnya membahayakan kesihatan.
Seorang kerani swasta, Wan Adelia Wan Man, 28, berkata, akta baharu yang bakal dibentangkan kerajaan itu adalah sangat bagus kerana merokok amat berbahaya, khususnya bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak kerana kesan buruknya lebih teruk kepada orang di sekitar perokok berkenaan.
“Saya ada terbaca di internet yang mengatakan bahawa hanya 25 peratus sahaja asap rokok yang disedut oleh perokok manakala selebihnya 75 peratus tersebar ke sekeliling. Jadi asap rokok ini lebih membahayakan orang di sekeliling mereka daripada perokok itu sendiri,” ujarnya.
Katanya, akta yang bakal dikuatkuasakan adalah sangat bagus kerana seperti yang kita dapat lihat ramai juga pelajar sekolah yang merokok maka saya menyokong penuh usaha kerajaan ini yang dilihat sangat berkesan bagi mengurangkan pelajar sekolah merokok.
Menurut Wan Adelia lagi, dia ingin memberi saranan kepada kerajaan agar menaikkan had umur golongan yang dilarang merokok ini kepada golongan yang berusia lebih 18 tahun kerana kebanyakan mereka yang lebih berusia yang kerap merokok dan bagi memastikan semua rakyat Malaysia boleh hidup sihat tanpa persekitaran yang membahayakan.
Sementara itu, Param A/L Thangavelu, 40, dari Jinjang menegaskan bahawa tabiat merokok membahayakan kesihatan dan memberikan pelbagai kesan yang buruk kepada perokok dan orang di sekeliling
Justeru katanya, dia menyokong langkah kerajaan dan ingin mencadangkan agar kerajaan menaikkan harga rokok kepada dua kali ganda harga dan tidak lagi membenarkan penjualan rokok dalam bentuk sebatang.
Hal ini demikian katanya akan mengurangkan bilangan perokok tegar kerana mereka berasa mahal untuk membeli rokok dan lebih mengutamakan perkara yang lain berbanding membeli rokok.
Katanya lagi, ramai yang akan mendapat penyakit berbahaya akibat daripada asap rokok contohnya dia pernah melihat ada yang mengalami sakit dada yang berterusan serta mendapat penyakit kanser kerana tabiat menghisap rokok secara berlebihan.
Seorang lagi yang ditemui HarakahDaily, Syamsul Muhammad Nawar, 24, dari Jawa Timur yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sini pula berkata, walaupun dia bukan rakyat Malaysia, namun dia tetap menzahirkan sokongan kepada kerajaan Malaysia bagi membentangkan akta larangan merokok ini.
Menurutnya, golongan perokok tegar akan mengalami pelbagai jenis penyakit yang membahayakan seperti masalah paru-paru dan kanser.
Tambah Syamsul, anak-anak yang didedahkan pada asap rokok ini akan mengalami risiko lebih tinggi dengan masalah kesihatan dan mereka cenderung untuk mengalami masalah seperti batuk, asma serta jangkitan paru-paru dan telinga.
Katanya lagi, di Indonesia, pelajar sekolah tidak dibenarkan membeli rokok di kedai kerana ada undang-undang yang melarang mereka membeli rokok.
Oleh sebab itu katanya, sememangnya usaha kerajaan Malaysia amatlah baik bagi mengurangkan atau menghapuskan masalah perokok dalam kalangan remaja di bawah usia 17 tahun.
“Abang saya juga merokok dan ia adalah perkara yang membimbangka dan pada pendapat saya merokok membahayakan nyawa isteri dan anak-anaknya juga,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily disini hari ini.
Terdahulu, kerajaan Malaysia melalui kenyataan Menteri Kesihatannya baru-baru ini mengumumkan akan membentangkan akta baharu bagi melarang kegiatan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok, termasuk rokok elektronik (vape), ke atas generasi yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai ‘Generational End Game’, di Parlimen pada sesi Julai depan.
Menurut Khairy, akta baharu berkaitan rokok akan diperkenalkan terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.
“Ia bagi mengurangkan keterdedahan generasi akan datang kepada rokok dan produk tembakau, kerana pengambilannya adalah faktor utama kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser,” katanya. -HARAKAHDAILY 1/6/2022