Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Lokasi yang terbabit dengan projek penukaran paip lama berjaya mengurangkan gangguan bekalan air seperti berlaku sebelum ini.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, keadaan itu dapat dilihat di Dusun Muda, Tanjung Chat di Kota Bharu dan di Kelaboran, Tumpat.
Katanya penukaran paip lama berjaya meningkatkan tekanan air dan mengatasi kebocoran paip air.
“Projek penukaran paip sepanjang 87 kilometer melibatkan jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang mula dilaksanakan pada tahun lepas.
“Manakala penukaran paip lama sepanjang 340 km melibatkan sebahagian Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang pula akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Selain itu penukaran paip melibatkan seluruh jajahan Bachok sepanjang 220 kilometer dijangka dilaksanakan pada tahun 2023,” katanya selepas majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Ketereh, di sini hari ini.
Turut hadir Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub, Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Dato’ Ir Dr Azuhan Mohamed.
Menteri Besar juga berkata, pihak Pengurusan Aset Air Bhd kini dalam proses melantik perunding bagi melaksanakan kerja-kerja penukaran paip di Kelantan.
Menurutnya kesemua projek penukaran paip dilaksanakan AKSB di seluruh negeri itu dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat mengikut Pelan Induk AKSB 2021-2030. – HARAKAHDAILY 31/5/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!