Terminal Bas Kota Bharu dan Stesen Bas Tanjung

SUNGGUH memalukan. Begitulah perkataan yang amat sesuai kepada sekumpulan manusia yang melakukan kritikan kepada keadaan Stesen Bas Ekspres Sementara di Kota Bharu. Dengan gaya bercakap menggunakan perkataan dan bahasa Terengganu yang pekat, mereka kelihatannya menghina Kerajaan Kelantan kerana stesen sementara itu.

Antara kata mereka lagi, tidak dinamakan sementara jika sudah 10 tahun berkeadaan begitu. Lagi mereka mentertawakan keadaan stesen itu yang tiada difahami motif mereka bertindak sedemikian. 

Sekadar berkongsi cerita. Orang Terengganu yang tinggal di sekitar Bandar Kuala Terengganu pastinya tahu akan kewujudan Stesen Bas Ekspres di situ. Yang pertama ketika memasuki era moden sekitar 80-an, ia berada di hadapan Paya Bunga Square, bersekali dengan stesen teksi dan Pasar Lambak.

Apabila pembangunan mahu dilaksanakan, maka Stesen Bas Ekspres Kuala Terengganu telah berpindah ke Tanjung. Di sini Stesen Bas Ekspres ini digunakan begitu lama. Ia bermula sekitar tahun 1990 sehingga tahun 2008. Dengan bangunan kayu berkotak-kotak. Tiada tempat duduk yang mencukupi. Jalan akan menjadi begitu sesak menuju ke stesen bila musim perayaan. Belum lagi jika tiba musim tengkujuh, alamat kuyuplah penumpang yang berada di luar bas sebab keadaan yang sempit. Tandas juga ada masalah. Jelas ia lebih daif daripada yang ada di Kota Bharu sekarang.

Jika dilihat ia seperti tidak berapa kena bandingan dengan keadaan sekarangkan? Sebenarnya ia amat kena dan sangat terkait kerana pada zaman itu, Terengganu adalah negeri yang sangat kaya. Kenapa isu stesen bas, Kerajaan BN Terengganu tidak dapat disiapkan dengan segera? Bagaimana mereka merancang? Malah sebuah bangunan baharu di hadapan Hotel Paya Bunga ketika itu, tidak dapat digunakan kerana gagal mendapat kelulusan sehingga bertahun-tahun setelah siap dibina.

Jadi seharusnya orang Terengganu patut merasa malu apabila cuba mencampuri urusan negeri orang, sedangkan suatu masa dahulu, mereka juga terpalit dengan isu yang sama, malah lebih teruk dari itu kerana mempunyai wang royalti bagi membina stesen bas yang lebih baik dan cepat, tetapi gagal melakukannya dengan segera. 

Dan pada kenyataan mereka yang kedua iaitu 10 tahun tidak boleh dikatakan sebagai sementara, maka berapa tahunkah yang menjadi rujukan sebagai ‘sementara’ itu? Apa pula yang menjadi syarat wajib ‘sementara’ itu? Selagi tidak siap yang utama, maka yang sementara itu, tetaplah sementara, apa masalah?

Jadi, sepatutnya tidak perlu bermusafir jauh sekadar mahu mengejar konten memalukan orang, apa lagi orang Kelantan yang sudah lama menerima seadanya tekanan yang dikenakan terhadap negeri mereka. Mereka jadi lebih gagah dan kuat. Jelas mereka tidak luntur semangat hanya kerana janji palsu kemajuan, tidak mudah dibodohkan orang. Jika mereka kurang kemampuan, mereka buat cara mereka. Setakat ini, tiada lagi rakyat Kelantan mati kebulur, walau di musim COVID-19 sekalipun.

Mahu jadi influencer boleh, tapi berpada-padalah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 31/5/2022

*Untuk rekod, begitulah keadaan Stesen Bas Ekspres Tanjung sejak dari mula digunakan. Sekarang menjadi stesen teksi

Advertisement