BATANG LUPAR: PAS Negeri Sarawak dengan kerjasama PAS Kawasan Batang Lupar telah mengadakan Sambutan Ramah Tamah Aidil Fitri di Dewan Masyarakat Kampung Kalok, Beting Maro, di sini kelmarin.
Selain bertujuan untuk menyambut kemenangan buat umat Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan, sambutan ini juga menjadi platform dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara PAS Sarawak dan penduduk tempatan.
Sekitar 1,000 tetamu dalam kalangan penduduk setempat antaranya dari Kampung Pusa, Kampung Kalok, Kampung Godam, Kampung Beladin, Kampung Tambak, Kampung Sepinang, Kampung Samarang dan lain-lain hadir ke majlis ini.
Masing-masing dilihat gembira menikmati pelbagai juadah yang umumnya ditemui setiap kali Aidil Fitri seperti rendang dan lemang, selain nasi impit, nasi tomato, sup tulang serta pelbagai kuih-muih berwarna-warni dan enak.
Turut hadir dalam sambutan ramah tamah itu, Penolong Setiausaha PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee serta Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Beting Maro, Mohamad Arifiriazul Paijo dan Yang Dipertua PAS Batang Lupar, Zahari Deli.
Sambutan ramah tamah ini tidak sekadar menikmati juadah hari raya, malah terdapat aktiviti lain yang turut berlangsung seperti cabutan bertuah, penyerahan duit raya untuk anak-anak dan pertandingan pakaian keluarga sedondon.
Arifiazul yang juga Setiausaha PAS Sarawak dan mesra dikenali masyarakat setempat dengan panggilan Arif berharap program ramah tamah ini akan merapatkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Khairul Faizi pula dalam ulasannya menyifatkan kepimpinan PAS yang diterajui Presiden, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semakin menunjukkan penerimaan dan diakui masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 31/5/2022
Ramah Tamah Aidil Fitri PAS Sarawak meriah
- Advertisement -