MAIWP prihatin keperluan pendidikan anak-anak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sangat prihatin terhadap keperluan pendidikan anak-anak di Wilayah Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Justeru itu, katanya pihak MAIWP telah mengambil inisiatif iaitu sebanyak RM1.8 juta bantuan kewangan secara one off telah diluluskan dengan menggunakan peruntukan sedia ada daripada Akaun Amanah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tahun 2022 di bawah item asnaf miskin dan fisabilillah bagi pengagihan Skim Pinjaman Buku Teks KAFA tahun 1 hingga tahun 6.

“Semoga dengan inisiatif ini mampu menyuntik semangat kepada semua murid dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Kunjung Serah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) KAFA JAWI di Masjid Zubair Al-Awwam, di sini, hari ini. Hadir sama ialah Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

- Advertisement -

Tambahnya, pelbagai inisiatif lain juga telah diberikan kepada pihak JAWI, bukan hanya kepada murid-murid malah juga melibatkan para guru.

Ini, kataya dapat dibuktikan apabila elaun guru-guru KAFA seluruh Wilayah Persekutuan telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM800.

Idris berharap semoga kolaboratif antara MAIWP, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAWI sentiasa berterusan bagi memastikan kelestarian pendidikan Islam di Wilayah Persekutuan terus diperkasa.

Beliau berkata, bagi fasa pertama pelaksanaan, mulai 21 Mac lalu (sesi persekolahan baharu), seramai 12,221 murid KAFA JAWI Tahun 1 dan 2 seluruh Wilayah Persekutuan telah menerima bantuan Skim Pinjaman Buku Teks KAFA.

Tambahnya, sebanyak 46,550 naskah buku SPBT KAFA meliputi tujuh subjek iaitu, Adab, Aqidah, Bahasa Arab, Ibadah, Sirah, Tilawah Al-Quran, Jawi dan Khat telah diedarkan ke seluruh Wilayah Persekutuan dengan perbelanjaan peruntukan berjumlah RM691,005.00.

Berkaitan dengan transformasi dalam sistem pendidikan, Idris mahu JAWI membuat semakan dan pemetaan semula kurikulum Sekolah Rendah Agama JAWI yang sedia ada.

“Kita perlu menambahbaik kurikulum agar anak-anak didedahkan dengan situasi semasa yang berlaku sekarang.

“Sistem pendidikan Islam di Wilayah Persekutuan seharusnya bersifat dinamik, pragmatik dan realistik demi kemenjadian murid-murid dan ia memudahkan semua pihak dalam membantu pembelajaran anak-anak,” ujarnya.

Menurutnya, maklumat pendidikan terkini haruslah sentiasa diterokai bagi memastikan kualiti Pendidikan Islam sentiasa dipertingkatkan agar ia berada pada satu tahap yang tinggi dan mampu bersaing di persada pendidikan tanah air,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/5/2022

- Advertisement -